Sedikit perubahan jurulatih bawa Kota Setar juarai LBR Wanita

Public Anonymous User
March 5, 2017 07:00 MYT
Skuad Kota Setar meraih gelaran juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Wanita selepas menundukkan Felda 2-1 dalam aksi final di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
LBR Wanita yang julung kali diadakan itu berakhir dengan Kota Setar muncul pemenang pertama, selepas perlawanan berlarutan hingga ke masa tambahan.
Pada minit kelapan masa tambahan, Kota Setar memecah kebuntuan dengan gol pertama menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Atin Surang sebelum Nor Adilah Idrus menambah jaringan, lima minit kemudian.
Felda terpaksa berpuas hati dengan satu gol yang dijaringkan pada minit akhir oleh Norhawa Mohd Yassin, sebelum perlawanan tamat dengan 2-1 memihak kepada Kota Setar.
Lebih manis, Kota Setar berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan itu.
"Separuh masa pertama kami gentar sedikit, sebab itu kami kurang dapat sesuaikan diri.
"Tetapi apabila bermulanya separuh masa kedua, saya ubah sedikit formasi dan memberikan semangat," kata ketua jurulatih Kota Setar, Mohamad Zulkifli Jaafar.
"Dengan semangat setiakawan yang ada, kami melaksanakan tugas dengan baik. Walaupun bermula dengan agak perlahan tetapi Alhamdullillah selepas separuh masa pertama, kami bangkit untuk menghasilkan dua gol," kata kapten Kota Setar, Noor Hartini Jasni.
#bola sepak #Felda #LBR Wanita #Skuad Kota Setar #UPM
;