SCOTLAND 0 UKRAINE 0

Ketua jurulatih Scotland, Steve Clarke, berseloroh bahawa mereka tidak lagi perlu mengharungi perlawanan play-off Euro 2024 memandangkan skuadnya makin mantap dengan mengungguli kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL).


Keputusan seri tanpa jaringan ketika berkunjung ke Ukraine itu memastikan mereka layak ke saingan utama UNL selain memastikan mereka ditempatkan di dalam Balang 2 untuk undian kelayakan Euro awal bulan depan.

“Saya tidak fikir dengan barisan pemain seperti ini, kami akan memerlukannya (perlawanan play-off),” katanya.

"Kami telah mencapai Balang 2, Kumpulan A UNL. Kami tidak mahu berhenti. Kami mahu terus menjadi lebih baik jika boleh.



"Kami sekali lagi telah melakukannya dan meneruskan usaha ini dalam perlawanan terakhir. Saya meminta pemain supaya mengambil langkah seterusnya agar kami dapat menunjukkan kepada semua orang bahawa kami makin meningkat."

Ukraine membuatkan Scotland berputih mata dalam play-off Piala Dunia Qatar, Jun lalu, dan Clarke mengakui perubahan formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 mula membuahkan hasil.

"Saya duduk bersama seluruh kakitangan dan berkata kami perlu menetapkan persekitaran yang berbeza, kami perlu menagih prestasi lebih tinggi daripada pemain," katanya Jun lalu.