Saya tak suka bandingkan perbezaan motosikal secara terbuka - Marc Marquez
Raja Hisyam Raja Zaid
January 2, 2024 14:10 MYT
January 2, 2024 14:10 MYT
Agak teruja sebenarnya untuk melihat aksi tunggangan pertama juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez, bersama Gresini Ducati bagi musim baharu MotoGP selepas berpisah dengan pasukan Honda yang berjaya menjulang namanya selama 11 tahun.
Selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Gresini Ducati, Marquez hanya dilihat hanya sekali menguji jentera dari Itali tersebut.
Sudah pastinya ia memerlukan perubahan yang besar dalam menyesuaikan diri selaku pelumba yang sudah terlalu biasa dengan teknik tunggangan enjin motosikal daripada matahari terbit kepada keluaran eropah.
Namun, terbaharu, Marquez mengakui sedikit gementar dalam membiasakan diri dengan jentera Ducati.
"Agak gementar juga sebenarnya (menunggang kali pertama Ducati) dan ia seakan ada rama-rama dalam perut saya." Kata Marquez kepada media ketika diminta memberi sedikit respon selepas menguji jentera itu sedikit masa lalu.
Walaupun sudah banyak kali sudah menjuarai perlumbaan motosikal paling elit di dunia itu, beliau tidak menafikan bahawa ia merupakan cabaran yang besar dalam memastikan dirinya mampu mengendalikan jentera Ducati dengan baik seperti yang pernah dilakukan bersama Honda.
"Namun, selepas beberapa waktu saya kekal menenangkan diri dan saya akhirnya berjaya juga sedikit sebanyak memahami style pasukan teknikal yang baharu dengan jentera mereka.
"Apa pun sudah pastinya sebaik anda melompat ke atas jentera tersebut, segalanya akan terserah kepada anda untuk menentukanya," jelasnya lagi.
Marquez mengakui sebenarnya masih banyak yang perlu dia pelajari berkenaan jentera Ducati a[abo;a terpaksa melakukannya secara berhati-hati dan mengambil sedikit masa.
"Saya tidak suka untuk membuat perbandingan terutamanya secara terbuka tetapi ia sudah pastinya berbeza cara dan teknik pengendalian," tambahnya.
Perpindahan Marquez bersama Ducati juga sedikit sebanyak mengimbau sejarah yang sama pernah dilakukan lagenda Valentino Rossi dahulu.
Namun, malangnya Rossi yang ketika itu cemerlang bersama Yamaha memilih untuk bersama pasukan Ducati pada 2011 gagal mencapai misi untuk kekal selaku juara sepanjang musim tersebut.
Bagaimanapun jentera Ducati telah melakukan banyak perubahan dan menyaksikan pelumba mereka ketika ini begitu cemerlang dalam saingan MotoGP pada setiap musim.