Samoa Joe gagal runtuhkan Kota Suplex

Hafiz Azwany Taher
July 11, 2017 10:02 MYT
Bersesuaian dengan nama acara Great Balls of Fire, Samoa Joe ibarat menghamburkan bebola api bertubi-tubi terhadap Brock Lesnar dalam usahanya untuk merampas Kejuaraan Universal WWE di acara tersebut pagi semalam.
Bersiaran secara langsung dari American Airlines Centre di Dallas, Texas, Joe yang ibarat harimau kelaparan enggan menunggu lama untuk memulakan perlawanan, apabila dia menyerang Lesnar yang masih belum bersedia dari belakang. Serangan demi serangan dilancarkan sehingga menyebabkan The Beast terkeluar dari gelanggang.
Azab ke atas Juara Universal WWE itu ditambah lagi dengan satu bantingan berpaut oleh Joe tepat ke atas meja pengulas berbahasa Sepanyol menyebabkan Lesnar terpaksa berhenti seketika untuk menarik nafas dan berusaha mengumpul kudrat kembali.
Sebagai bekas Juara NXT dan Juara Heavyweight Dunia TNA, Joe melihat peluang untuk menambah senarai kejuaraan dalam resumenya. Justeru, beliau terus mengasak Lesnar sebaik sahaja loceng perlawanan bergema secara rasminya.
Sepertimana lazimnya, Lesnar yang agak terkesima menerima asakan demi asakan daripada Joe, melancarkan gerakan lazimnya iaitu Suplex ke atas Joe. Tiga gerakan tersebut dilancarkan secara berturut-turut sambil Paul Heyman dan para penonton membuat kiraan bersama-sama.
Ternyata ia belum cukup untuk melemahkan tubuh gempal Joe. The Destroyer masih mampu bertahan dan berjaya mencekak leher Lesnar dalam gerakan mautnya iaitu kunci leher Coquina. Kunci yang mampu menyekat aliran oksigen untuk masuk ke paru-paru itu mula menampakkan impaknya apabila Lesnar terduduk longlai dengan muka yang bertukar merah ibarat udang kena bakar.
Lesnar juga seperti Joe. Enggan mengalah dengan mudah. Beliau bangkit kembali dan cuba menghadiahkan gerakan penyudahnya iaitu Pusingan Beliung F5. Tapi mungkin kerana fizikal Joe dengan fizikal seberat 128 kilogram, menyebabkan posisi tersebut kurang kemas seterusnya memungkinkan untuk Joe melepaskan diri.
Tiga lagi gerakan suplex dilaksanakan Lesnar. Joe juga tidak ketinggalan memberikan satu lagi Cekak Coquina. Malang buat Joe apabila cubaan seterusnya ini mengundang padah apabila Lesnar berjaya mengesampingkan gerakan itu dan menukarkannya kepada satu F5 yang kuat. Sebaik terhempas ke lantai gelanggang, tindanan pin terus dilakukan dan Lesnar diumumkan sebagai pemenang seterusnya mempertahankan Kejuaraan Universal yang disandangnya sejak awal April lalu.
Biarpun kebanyakan peminat gusti agak kecewa dengan keputusan ini, namun pujian wajar diberikan kepada Joe kerana mampu memberi saingan sengit kepada Lesnar yang jauh lebih berpengalaman. Prestasi membanggakan Joe ini sudah tentu akan membawa namanya ke tangga lebih tinggi dan tidak mustahil Joe akan bergelar juara sedikit masa lagi.
Lagi pula, Joe adalah alumni syarikat pesaing WWE iaitu TNA / Impact Wrestling. Justeru, tidak pelik jika kejuaraan tidak terus singgah di bahunya. Joe perlu mempamerkan kehebatannya dengan lebih giat dan jika kena dengan gayanya, pasti Joe akan dapat mengulangi kecemerlangan yang digapai AJ Styles tahun lalu.
Penulis tidak menganggap perlawanan semalam adalah kekalahan buat Joe. Sebaliknya, ia adalah sebuah kejayaan yang masih tertunda dan kemanisan sebuah kemenangan pasti akan muncul sedikit masa lagi.
Satu lagi perlawanan yang mencuri tumpuan di acara Great Balls of Fire semalam adalah pertembungan kesumat antara Roman Reigns dan Braun Strowman dalam perlawanan khas yang dinamakan Perlawanan Ambulans.
Sesuai dengan nama perlawanan ini, kemenangan tidak ditentukan melalui tindanan pin atau menyerah kalah. Sebaliknya mereka perlu menghumban lawan mereka ke dalam ambulans untuk beroleh kemenangan.
Sengketa antara Roman dan Strowman yang telah membarah selama ini membuatkan perlawanan ini menjadi medan melampiaskan dendam masing-masing. Bagi Strowman pula, ini adalah peluang untuknya membalas semula perbuatan Roman mencederakan sikunya beberapa bulan lalu sehingga menyebabkannya terlepas untuk beraksi selama hampir 6 minggu.
Perlawanan tanpa sekatan undang-undang ini tidak menampilkan banyak perbezaan berbanding pertemuan mereka sebelum ini. Tidak cukup dengan pergelutan di gelanggang, mereka bertarung di pentas utama sehingga menyebabkan skrin LED runtuh akibat perlanggaran tubuh Strowman yang ditujah Roman.
Roman tersilap percaturan pada satu ketika apabila cubaannya untuk melakukan rempuhan bahu tersasar dan menyusup terus ke dalam ambulans. Peluang ini tidak dilepaskan oleh Strowman yang terus menutup pintu belakang ambulans dan beroleh kemenangan.
Sedang Strowman leka meraikan kemenangannya, Roman muncul semula daripada belakang dan menyerang Strowman selajur menghumban bintang gergasi itu pula ke dalam ambulans. Setelah pintu dikunci, Roman masuk ke ruangan kokpit pemanduan dan memandu keluar ambulans ke belakang.
Bagai dirasuk syaitan, Roman mengundur laju ambulans ke belakang dan menghentam belakang ambulans dengan sebuah kontena menyebabkan ruang belakang kenderaan tersebut remuk teruk. Beberapa pegawai WWE termasuk Pengurus Am Raw, Kurt Angle meluru ke sana untuk memastikan keselamatan Strowman yang masih berada dalam perut ambulans.
Pihak bomba terpaksa dikerah untuk mengumpil pintu kecemasan ambulans akibat pintu belakang yang remuk tidak boleh digunakan. Mujur pintu berjaya dibuka dan Strowman melangkah keluar dengan longlai. Tubuhnya terlihat luka termasuk di bahagian muka, namun berlalu sendirian gara-gara enggan menerima rawatan kecemasan daripada pasukan perubatan.
Tindakan luar jangka Roman ini mengundang seribu persoalan di benak WWE Universe. Tidak mustahil, ia mungkin sebuah tindakan yang membayangkan Roman barangkali sudah penat bergelar jaguh suka ramai selama ini. Biarpun sedaya upaya cuba memenangi hati para peminat, namun setiap saat dirinya dicemuh dan dicerca oleh peminat. Barangkali telah tiba masanya Roman bergelar penggusti jahat berhaluan kiri dan Strowman dilihat paling layak sebagai subjek untuk mentransformasikan karakter dirinya.
Keputusan perlawanan lain yang mengambil tempat semalam:
1. Heath Slater tewaskan Curt Hawkins
2. The Miz pertahankan Kejuaraan Antara Benua WWE dengan tumpaskan Dean Ambrose hasil bantuan The Miztourage (Bo Dallas dan Curtis Axel)
3. Sasha Banks kalahkan Alexa Bliss dengan kemenangan secara kiraan keluar (count-out). Alexa kekal Juara Wanita Raw
4. Cesaro dan Sheamus pertahankan Kejuaraan Regu Raw dengan kecewakan pasangan The Hardy Boyz dalam perlawanan Lelaki Waja 30 minit dengan kelebihan mata 4 berbalas 3
5. Big Cass benam bekas rakan baiknya Enzo Amore
6. Bray Wyatt tumbangkan Seth Rollins
7. Akira Tozawa gagal rampas Kejuaraan Cruiserweight daripada Neville di acara sepak mula.
Foto ihsan: WWE.com
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
#Samoa Joe #WWE
;