Mulai 15 Julai 2023, W-Sport akan tersedia kepada pelanggan Astro Sports Pack di CH815 tanpa bayaran tambahan.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata, "Astro terus mengukuhkan tawaran Rumah Sukan di Malaysia dengan menyediakan rangkaian kandungan sukan yang paling komprehensif dan pelbagai di seluruh dunia.
"Kerjasama kami dengan W-Sport bukan sahaja akan memberi penonton di Malaysia akses kepada lebih banyak sukan wanita, malah membolehkan Liga Super Bolajaring (NSL) Astro pada musim akan datang menjangkau peminat sukan di seluruh dunia.
"Astro melancarkan NSL pada 2021 sempena memperjuangkan pembangunan sukan wanita di Malaysia. Melalui W-Sport, kami teruja untuk dapat mempamerkan atlet wanita tempatan kami di pentas global."
W-Sport mempunyai portfolio hebat dengan kandungan bola sepak secara langsung untuk peminat dengan setiap minggu menyajikan tujuh perlawanan bola sepak secara langsung menerusi Liga Super Wanita Barclays England, Frauen Bundesliga Jerman, Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dan Damallsvenskan Sweden di W-Sport.
Selain itu, Kejohanan Tenis Piala Hoffman, Liga Super Bola Jaring dari United Kingdom (UK), perlumbaan motor Extreme E, pelbagai sukan PAC 12 termasuk bola keranjang, gimnastik dan bola tampar pantai daripada sistem kolej AS yang sangat kompetitif semuanya ada di W-Sport.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) W-Sport, Kelly Butler, berkata: "Ini merupakan satu langkah penting dalam evolusi W-Sport. Menerusi Astro -- salah satu syarikat kandungan dan hiburan terkemuka di Asia Tenggara -- yang menawarkan W-Sport kepada penonton mereka memberi gambaran tentang momentum pertumbuhan dan minat terhadap sukan wanita.
"Atlet yang dipaparkan dalam liputan kami menjadi suri teladan dan inspirasi yang baru buat gadis dan lelaki muda di mana-mana sahaja. W-Sport adalah di mana sukan wanita menjadi satu-satunya keutamaan kami."