Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, menganggap Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 bermula esok merupakan kejohanan penting untuk menguji kemampuan The Red Giants menjelang Perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) bulan depan.

Selain itu, pengendali berkenaan juga mahu menguji skuad penuhnya dengan kepulangan pemain muda pasukan itu daripada Kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar baru-baru ini.

"Ini adalah kejohanan yang kami anggap penting walaupun ia dianjurkan oleh kami sendiri," katanya dalam sidang media SAC 2024 yang disiarkan secara langsung di Astro Arena sebentar tadi.

"Kami mahu melihat bagaimana perkembangan kelab ini dalam pramusim ini.

"Selain itu, pemain yang baru pulang daripada Piala Asia B-23 juga akan kembali menyertai kami.

"Jadi ini peluang untuk kami menguji satu dua pemain dan melihat bagaimana perkembangan pasukan ini kerana dalam dua minggu lagi, kami akan beraksi dalam Perlawanan Sumbangsih.

"Saya tidak cakap ini kejohanan yang wajib kami menangi tetapi daripada segi prestasi dan keputusan, ini adalah peluang terbaik untuk kami menilai tahap kami," katanya.

Selangor akan menentang kelab Brunei, DPMM FC, esok sebelum menantikan pemenang di antara kelab Laos, Young Elephants dan wakil Singapura, Balestier Khalsa, hujung minggu ini.