Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. memberikan bayangan The Rhinos perlu menambah pemain posisi penyerang dalam jendela perpindahan kedua musim ini bagi memantapkan lagi jentera serangan.

“Kami kehilangan Ramon Machado de Macedo dan pada masa sama terpaksa melupakan sementara khidmat Saddil Ramdani dan Darren Lok yang mengalami kecederaan.

“Sejujurnya, situasi ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan terhadap bahagian penyudah Sabah kerana masih banyak perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.

“Saya berharap kami mampu melakukan sesuatu bagi mendapatkan penyerang berkualiti untuk mempertajamkan bahagian serangan dalam jendela perpindahan pemain nanti,” katanya selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, kelmarin.

Sabah sebelum itu mengakhiri kemarau kemenangan saingan Liga Malaysia apabila menjinakkan Negeri Sembilan kendalian Azzmi Ab Aziz 2-0 dalam perlawanan di Likas.

Daniel Ting menjaringkan gol pembukaan minit ke-14 sebelum Jafri Firdaus Chew menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-81 selepas skuad Rusa terpaksa bermain 10 pemain setelah kehilangan khidmat Norfiqrie Talib yang dilayangkan kad merah minit ke-64.




Tiga mata diraih anak buah Kim Swee itu membolehkan kelab Kepulauan Borneo memperbaiki kedudukan liga dengan mengumpul 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Mengenai perlawanan berdepan Negeri Sembilan kendalian Kim Swee berkata: “Keputusan yang kita kehendaki selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Paling penting, bahagian pertahanan kita lebih berdisiplin apabila tidak bolos.

"Biarpun begitu, kita tidak boleh terlalu selesa kerana masih terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan," katanya.

Kredit: Sinar Harian