Rossi terlepas GP Aragon kerana positif COVID-19
Shaiful Shamsudin
October 16, 2020 09:15 MYT
October 16, 2020 09:15 MYT
Juara MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi, dijangkiti COVID-19 dan bakal terlepas perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon, hujung minggu ini.
Rossi muncul pelumba pertama yang terpaksa menarik diri akibat pandemik itu dan pemain Itali tersebut dijangka terlepas GP Teruel -- perlumbaan kedua berturut-turut di MotorLand.
Pelumba Monster Energy Yamaha itu sedang mengasingkan diri di rumahnya di Tavullia sejurus kembali daripada MotoGP Perancis di Le Mans, hujung minggu lalu.
Rossi mendapatkan pandangan doktor setelah berasa sedikit demam ketika bangun pada pagi esok lalu menjalani dua ujian calitan dengan keputusan kedua dikesan positif.
Penunggang berusia 41 tahun itu mendedahkan bahawa dia tidak berhubung dengan rakan sekerja sepanjang berada di Tavullia.
— Valentino Rossi (@ValeYellow46) October 15, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sayangnya pagi ini apabila saya bangun, saya tidak berasa sihat," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
"Sendi saya berasa sakit dan saya mengalami sedikit demam jadi saya segera menghubungi doktor dan mereka melakukan dua ujian ke atas saya.
Hasil pertama adalah negatif, sama seperti ujian yang saya lalui Selasa lalu.
"Tetapi sayangnya laporan ujian calitan kedua yang dikirim kepada saya pada pukul 4 petang ini adalah positif. Saya sangat kecewa kerana terlepas perlumbaan di Aragon.
"Saya tetap optimis dan yakin tetapi saya berharap dapat mengikuti perlumbaan kedua di Aragon.
"Saya sedih dan marah kerana saya telah melakukan yang terbaik untuk menghormati protokol (COVID-19) dan walaupun ujian pada Selasa lalu adalah negatif, saya tetap mengasingkan diri sejak tiba dari Le Mans.
"Bagaimanapun, ini langkah yang diamalkan jadi saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan. Saya akan mengikuti nasihat perubatan dan berharap akan cepat sembuh."
Rossi gagal menamatkan tiga perlumbaan terakhir dan berada di tangga ke-13 dalam senarai pelumba selepas sembilan pusingan.
Keputusan positifnya muncul seminggu selepas enam anggota pasukan Yamaha terpaksa mengundurkan diri dalam GP Perancis kerana salah seorang juruteranya dijangkiti virus itu.