Rossi kecewa kegagalan di Jepun
Penulis Jemputan
October 16, 2017 11:09 MYT
October 16, 2017 11:09 MYT
Valentino Rossi dipalit kekecewaan selepas harapannya untuk memenangi Grand Prix Jepun musnah sesudah terjatuh ketika pusingan keenam.
Pelumba dari Itali itu bermula dari petak ke-12 di Motegi, namun berjaya mara ke tempat kesembilan sebelum terjatuh ketika menduduki tangga ketujuh perlumbaan.
Dalam keadaan litar yang basah, Rossi gagal mengawal jentera Movistar Yamaha yang ditunggang, menyebabkannya menyifatkan perlumbaan itu sebagai perlumbaan di atas ais.
Bagaimanapun, dia bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi tetap merasai "kesakitan" apabila melihat Andrea Dovizioso meraih kemenangan selepas memotong Marc Marquez dalam pusingan terakhir.
"Kali ini, ia melibatkan kecelakaan yang besar dan ia berlaku ketika di selekoh.
"Saya berada di belakang Aleix Espargaro dan cuba untuk tidak berputus asa kerana mampu mengejar kelajuannya. Malangnya, saya hilang cengkaman di sebelah kiri. Ia seperti berlumba di atas ais.
"Segala-galanya sangat pantas. Apabila saya sedar ia berlaku, saya sudah pun melayang di udara.
"Saya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan pada kaki tetapi tetap merasai kesakitan. Ia tidak teruk, jadi masih dikira bagus," ujar Rossi.