Wayne Rooney memuji Manchester United kerana segera mengalihkan isu Cristiano Ronaldo sambil menyokong azimat baru mereka, Marcus Rashford, untuk mengatasi rekodnya jaringan sendiri.

Ronaldo meninggalkan kem The Red Devils buat kali kedua dalam situasi tegang pada November lalu selepas mengisytiharkan bahawa dia tidak menghormati pengurus, Erik ten Hag, dalam temu bual dengan penyiar Britain, Piers Morgan.

Pemilik lima Ballon d'Or itu kemudiannya menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr, sementara United sedang menikmati kejayaan dengan memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) dan mengukuhkan cengkaman mereka dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ditanya mengenai pemergian kontroversi Ronaldo dalam wawancara bersama CNN, penjaring terbanyak United itu berkata: "Saya rasa dia sudah pun mendapat apa yang dihajatinya.

“Bagi Manchester United, adalah penting untuk mengalihkan secepat mungkin isu itu dan benar-benar memberi semula tumpuan kepada kumpulan pemain yang berada di sana dan mahu berada di sana.

"Saya fikir di situlah Ten Hag telah melakukan kerja yang sangat baik dalam memfokuskan semula pemain dan meletakkan mereka di kedudukan di mana mereka kini berada, mereka jelas selesa di tangga empat teratas, begitu juga memenangi Piala EFL."





Ditanya sama ada penggal kedua Ronaldo yang bergelora di Old Trafford menjejaskan kedudukannya di mata penyokong kelab, Rooney menambah: "Tidak, saya fikir apa yang dia telah lakukan buat Manchester United adalah hebat.

"Dia memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, memenangi Liga Juara-Juara, menjaringkan banyak gol. Saya fikir pastinya daripada sudut peminat dan bekas rakan sepasukannya, kami tidak akan lupa melupakan jasanya kepada Manchester United.

"Pada pandangan saya, dia akan sentiasa menjadi legenda kelab dan malangnya ia berakhir dengan cara sebegitu. Tetapi saya tidak fikir itu akan menghapuskan sebarang legasinya di kelab."