RM2.2j habuan buat kontinjen Para Sukma Sarawak
Radzi Hamid
October 8, 2024 12:33 MYT
October 8, 2024 12:33 MYT
Sejumlah RM2,256,900 diagihkan kepada atlet para negeri Sarawak yang berjaya meraih pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) Para Edisi Ke-21 dari 22 sehingga 28 September lalu.
Ganjaran lumayan itu disampaikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, dalam Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak Para Sukma, hari ini.
Untuk rekod, kontinjen Para Sarawak muncul juara keseluruhan temasya selepas mengutip 82 pingat emas, sekali gus menewaskan juara bertahan ketika edisi ke-20 iaitu Sabah.
Pasukan olahraga Para Sarawak meraih insentif tertinggi dengan RM726,00 berikutan kejayaan 44 atletnya berjaya meraih 33 pingat emas, 24 perak dan 37 pingat gangsa.
Sementara skuad renang Sarawak pula meraih insentif sebanyak RM358,000 manakala pasukan powerlifting menerima RM 212,000.
Lain-lain sukan yang turut mendapat habuan daripada Kerajaan Negeri Sarawak adalah skuad para tenpin boling, skuad para boling padang, skuad boccia, skuad para ping pong, skuad para badminton juga skuad para catur.
Fraidden Dawan daripada kontinjen renang muncul penerima insentif tertinggi menerusi RM67,500 hasil kejayaan meraih enam pingat emas diikuti Galang Jabai yang menerima habuan RM47,500 hasil pungutan empat pingat emas dari Pusat Akuatik Pandelela Rinong.
Dalam majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan insentif sebanyak RM500,000 kepada sensasi powerlifting negara, Bonnie Bunyau yang berjaya raih pingat emas selain mencipta rekod baru dunia dalam temasya Paralimpik Paris 2024.