Atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, bertekad menjadikan Sukan Para ASEAN Kuala lumpur pada September depan sebagai medan kebangkitannya selepas gagal meraih emas 100 meter T36 dalam Kejohanan Para Dunia di London yang tamat Ahad lalu.

Bagi Ridzuan, kegagalan di London tidak akan melemahkan semangatnya untuk segera bangkit selepas ini, bermula dengan saingan Sukan Para ASEAN.

Ridzuan mengakui dia berdepan sedikit masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di London.

“Kegagalan meraih emas di London tidak akan melemahkan saya, sebaliknya saya lebih bersemangat untuk meningkatkan lagi prestasi.

"Memang kegagalan menangani faktor cuaca turut memberi kesan dalam final tetapi saya berjanji akan bangkit selepas ini bermula dengan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur," katanya.

Di London, Ridzuan sekadar meraih perak dalam acara 100m T36 dengan catatan 12.15 saat, dengan emas menjadi milik Yang Yifei dari China (11.93s) manakala gangsa milik Rodrigo Parreira da Silva dari Brazil (12.28s).

Yifei berjaya menebus kekalahannya kepada Ridzuan dalam Sukan Paralimpik Rio tahun lalu apabila dia meraih perak.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin, tidak terlalu gusar dengan kekalahan Ridzuan di London dan percaya atlet kelahiran Perlis itu akan bangkit selepas ini.

Ridzuan dan SM Nasaruddin ditemui ketika majlis meraikan atlet paralimpik di Pusat Kecemerlangan Atlet Paralimpik di ibu kota, semalam.

"Anda perlu mengambil perkara ini secara positif. Ridzuan mungkin sedikit gusar mengelak daripada melakukan 'false start'. Dia memberitahu akan memberikan yang terbaik dalam Sukan Para ASEAN nanti," kata SM Nasaruddin.