Scotland memanggil enam pemain baru bagi perlawanan Kejohanan Ragbi Enam Negara menentang Perancis hujung minggu ini berikutan masalah kecederaan dan pengguguran pemain.

Pasukan bimbingan Gregor Townsend itu kini berada di tangga keempat selepas merakamkan kemenangan 20-17 ke atas England sebelum tewas kepada Wales dengan keputusan sama.

Scotland seterusnya akan berdepan Perancis di Murrayfield pada Sabtu ini tetapi tidak dapat menurunkan skuad terbaik berikutan kehilangan beberapa pemain utama.

Rory Sutherland, Javan Sebastian, Jonny Gray, Scott Cummings dan Cam Redpath, kesemuanya telah dipulangkan ke kelab masing-masing kerana masalah kecederaan.

Sehubungan itu, dua pemain Glasgow Warriors, Ollie Smith dan Kiran McDonald, berpeluang untuk melakukan penampilan antarabangsa pertama selepas dipanggil untuk mengisi kekosongan itu.

Simon Berghan, Oli Kebble, Marshall Sykes dan James Lang merupakan empat lagi pemain baru yang dipanggil manakala Josh Bayliss pula dapat kembali diturunkan selepas tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan pertama berikutan gegaran kepala.