Rafiq meniti jalan berliku kembalikan prestasi
Shaiful Shamsudin
June 16, 2021 22:10 MYT
June 16, 2021 22:10 MYT
Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, akur dengan tuntutan Kerajaan Malaysia untuk terus kekal berada di rumah tatkala COVID-19 seakan tiada penghujungnya walaupun hakikatnya dia berada di kemuncak prestasi.
Begitupun, Rafiq terus memasang impian untuk mengekalkan gelaran juara dunia sambil menegaskan, dia harus bermula dari bawah memandangkan sudah sekian lama tiak beraksi dalam kejohanan kompetitif.
Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu menyatakan pendirian tidak berkelana ke luar negara bagi aksi kompetitif seperti yang dilakukan ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, yang kini menyertai kejohanan di Amerika Syarikat (AS).
"(Prestasi) saya pada hari ini tidak sama dengan 2018 lalu.
"Kalau berterusan begitu maka saya perlu buat sesuatu.
"Di sini saya tidak menyertai kejohanan apa-apa tetapi saya tidak berhasrat menyertai kejohanan di AS sebab saya lebih mementingkan keluarga," katanya mengenai perkembangannya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis, hari ini.
Untuk rekod, kali terakhir Rafiq beraksi di pentas kompetitif ialah menerusi Sukan SEA Filipina dengan menyumbang emas dalam acara berpasukan.
Atas dasar itu, Rafiq berkongsi ia adalah lumrah selepas atlet berehat panjang tetapi situasi berkenaan bukanlah mudah seperti yang disangka apabila dia memerlukan tempoh masa yang panjang untuk kembali menemui rentak terbaik.
"Paling lama saya terpaksa berehat sebelum ini adalah disebabkan kecederaan. Saya ingat itu yang paling lama.
"Kami berulang kali terpaksa berlatih dan berhenti.
"Apabila berehat lama maka kulit jari boleh terkoyak, mengeras dan otot jadi sakit-sakit, itu bahagian yang saya paling tidak suka.
"Ia memberi kesan kepada balingan dan ia memerlukan proses sekitar dua bulan untuk mengeraskan kulit-kulit yang telah kecut itu."