Rafiq congak kejayaan dunia
Sinar Harian
January 20, 2023 17:54 MYT
January 20, 2023 17:54 MYT
Setelah membantu skuad boling menamatkan kemarau 15 tahun pingat emas acara lelaki lima berpasukan di peringkat Asia, jaguh negara, Muhammad Rafiq Ismail, mula mencongak kejayaan lebih besar di peringkat dunia.
Kejayaan dalam Kejohanan Boling Tenpin Asia (ATBC) di Hong Kong baru-baru ini menjadi batu loncatan buat Rafiq untuk memburu kejuaraan acara berpasukan dalam Kejohanan Dunia di Kuwait akhir tahun ini.
Pemain berusia 25 tahun itu optimis dengan sasaran tersebut berdasarkan barisan pemain terbaik yang dimiliki negara ketika ini.
“Ini adalah kejayaan terbesar kerana dapat menamatkan kemarau pingat emas selepas 15 tahun. Ia adalah sasaran yang sudah lama kita impikan. Kami sangat gembira kerana dapat melakukan tugasan dengan baik," katanya.
Rafiq dan rakan sepasukannya, Syafiq Ridhwan, Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol, meraih pingat emas dengan melakukan 7,323 jatuhan pin selain Rafiq juga cemerlang meraih emas dalam acara masters.
Selain itu skuad lelaki negara turut memenangi emas acara All Events sekali gus menutup cabaran di Hong Kong dengan empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.
Secara keseluruhan Rafiq berpuas hati dengan pencapaian peribadi dan berpasukan di Hong Kong dan selepas ini akan kembali fokus kepada kejohanan Terbuka Malaysia, yang akan berlangsung pada April.
Katanya, bagi Kejohanan Dunia di Kuwait nanti, acaranya berbeza kerana ia melibatkan empat berpasukan dan bukannya lima berpasukan seperti di Hong Kong.
“Ia agak berbeza... (tetapi) saya percaya momentum kami akan kekal sehingga kejohanan itu.
“Semasa acara berpasukan dalam Kejohanan Dunia 2021 di Dubai, kami hanya dapat gangsa. Kali ini kami nak menang dan saya yakin boleh dapat emas,” katanya lagi.
Kredit: Sinar Harian