Lebih kurang dua tahun lalu, pada 10 November 2022, skuad hoki negara memahat sejarah apabila menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS).

Selepas 28 edisi, Malaysia tidak pernah menjuarai kejohanan itu biarpun merupakan negara penganjur, di mana pencapaian terbaik skuad negara hanyalah sebagai naib juara dalam lima edisi (1985, 2007, 2009, 2013, 2014).

Dengan tidak dianjurkan selama dua tahun pada 2020 dan 2021 gara-gara pandemik COVID-19, tidak ramai menjangkakan The Speedy Tigers mampu menamatkan penantian berkenaan tetapi pasukan bimbingan Arul Selvaraj ketika itu mencorakkan kisah sebaliknya.

Bagaimanapun, Marhan Jalil dan rakan-rakannya memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pertama.

Biarpun sudah ada suara-suara sumbang yang mula mengkritik permainan mereka, skuad negara kemudian berhasil mengikat Pakistan 1-1 dalam perlawanan kedua sebelum meraih kemenangan pertama dengan menumbangkan Mesir 4-1.

Selepas itu, The Speedy Tigers mula mendapatkan rentak sebenar dengan membelasah Afrika Selatan 7-2 dan mengatasi Jepun 4-2 untuk menamatkan saingan pusingan round-robin itu selaku naib juara di belakang Korea Selatan.

Bertemu Korea Selatan sekali lagi dalam penentuan gelaran, Shello Silverius meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-15 tetapi kelebihan itu hanya bertahan seminit sebelum Jang Jong-hyun menyamakan kedudukan.

Tonggak senior, Razie Rahim, kemudian kembali meletakkan Malaysia di depan dengan pukulan penalti pada minit ke-45 sebelum Aminudin Mohd Zain memberikan The Speedy Tigers kelebihan lebih selesa menerusi gol padangnya pada minit ke-48.

Dan biarpun Jeon Byung-jin mengurangkan defisit Korea Selatan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-58, Malaysia kental bertahan sehingga ke wisel penamat untuk bergelar juara PSAS buat julung kalinya sejak edisi pertama pada 1983.

Edisi ke-30 PSAS akan bermula esok dengan Malaysia bukan sahaja membawa reputasi sebagai pasukan tuan rumah, bahkan akan turun selaku juara bertahan.

Anda boleh saksikan siaran langsung kejohanan ini di Astro Arena HD saluran 801.