'Saya cemburu', demikian luahan penyerang The Speedy Tigers, Akhimullah Anuar Esook, merujuk kepada pemain yang sebaya dengannya, yang semakin mendapat tempat dalam skuad negara -- berbanding dirinya yang semakin kesuntukkan masa untuk membuktikan kewibawaan selepas tiada dalam perancangan pasukan sejak tiga tahun lalu.

Jadi, peluang kedua dan terakhir buat Akhimullah menyinar bakal dibalas ke dalam bentuk jaringan sebagai tanda terima kasih buat Sarjit Singh -- individu yang mahu melihat penyerang berusia 24 tahun itu kembali ke tahap disegani.

Akhimullah atau mesra disapa Black oleh rakan sepasukan -- tidak diberikan peluang untuk berada dalam kem negara dibawah kepimpinan jurulatih terdahulu, Arul Selvaraj.

Di sepanjang tempoh tiga tahun, Akhimullah tidak pernah berhenti berlatih -- sehingga dinobat pemain terbaik Piala Dunia 5 sepasukan di Oman Februari lalu -- apabila membimbing skuad negara muncul naib juara.

Menyedari, Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah itu menjadi medan terbaik untuk terus relevan -- Akhimullah sedia memperaga aksi terpuji bertemu New Zealand selepas memainkan peranan penyerang sokongan pada dua aksi terdahulu.

Sementara itu, Akhimullah mengakui, cara terbaik untuk menumbangkan pasukan di ranking ke-10 dunia itu menerusi gerakan pantas -- seiring dengan status Speedy Tigers ekoran kualiti utama pemain negara, menerusi kepantasan.

Sementara itu, New Zealand waspada gerakan serangan balas berbahaya kem negara yang bertunjangkan penyudah berbisa Faizal Saari pada pertemuan malam ini.

Nada kerisauan itu disuarakan ketua jurulatih The Black Sticks, Greg Nicol yang sudah mengkaji kekuatan The Speedy Tigers berdasarkan pertemuan pada jelajah New Zealand penghujung tahun lalu serta -- aksi ujian sebelum bermulanya kejohanan di Ipoh edisi kali ini.

Pengendali New Zealand itu turut menamakan, pemain utama skuad negara yang harus dikawal rapat -- jika mahu kembali merekodkan kemenangan selepas dikejutkan tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi terdahulu.