Program Podium masih kabur


December 21, 2023 14:44 MYT

Pada 22 November lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 ‘mendedahkan’ objektif utama Program Podium Sukan Elit (Program Podium) untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik masih belum tercapai.

Malah, menurut laporan itu, pencapaian output bagi Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) kurang memuaskan dengan dua daripada lima sasaran tidak tercapai.
Laporan itu turut menyebut pencapaian keberhasilan juga kurang memuaskan kerana daripada empat sasaran ditetapkan, dua tidak tercapai, manakala satu lagi masih belum dicapai.
Apa yang positif, laporan itu memaklumkan pencapaian output Program Podium di bawah Institut Sukan Negara (ISN) adalah baik kerana mencapai sasaran kemenangan pingat dalam tiga temasya sukan utama.
Itu antara perkara dibangkitkan berhubung Program Podium dalam LKAN 2022 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan (Jilid 2).
Persoalannya, adakah Program Podium masih relevan atau adakah Program Podium harus diserahkan semula di bawah jagaan ISN selepas ia menjadi ‘milik’ MSN sejak tahun 2019.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad, pernah menyuarakan pandangan agar Program Podium yang dilancarkan pada 2 Februari 2016 ditamatkan.
Hujahnya, ia susulan kegagalan kontinjen Malaya memenuhi sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik pada dua temasya – Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.Pada Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, kontinjen Malaysia gagal menghuni kelompok 10 terbaik apabila sekadar berada di kedudukan ke-12 keseluruhan dengan membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.
Dalam temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, kontinjen Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk hanya mampu menduduki tangga ke-14 keseluruhan.
Bagaimanapun, hasil post-mortem, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika itu tidak membubarkan Program Podium, sebaliknya ia diletakkan bersama-sama Program Kita Juara di bawah MSN.
Kini selepas lima tahun, status Program Podium yang menggunakan perbelanjaan besar kembali menjadi perbincangan hangat terutama dalam kalangan komuniti sukan tanah air susulan 'pendedahan' dalam LKAN 2022.
Dengan adanya projek baharu dinamakan Program Road to Gold (RTG) yang diperkenal pada Mac tahun ini, ada pihak yang berpendapat Program Podium harus dinyahaktifkan bagi mengelak pembaziran wang awam.
Namun, memetik kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sebelum ini sering menyatakan bahawa Program RTG lebih kepada top up servis, sudah tentu KBS tidak akan terus membubarkan Program Podium.
Cuma apa yang menjadi pertikaian sesetengah pihak di luar sana, sampai bilakah mereka harus menanti kilauan emas Olimpik sedangkan pihak kerajaan sudah mengeluarkan begitu banyak peruntukan.
Untuk rekod, pihak kerajaan bersetuju memberikan peruntukan RM240 juta kepada Program Podium mulai 2022 hingga 2025 dengan perbelanjaan sebanyak RM60 juta setahun, seperti mana yang diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 23 Februari 2022.
Malah, jika dinilai kembali peruntukan yang disediakan kerajaan dalam merealisasikan misi emas Olimpik pada tiga temasya terakhir sebelum ini, beratus juta ringgit sudah dibelanjakan.
Di bawah Program Road to London sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik London 2012, sebanyak RM20 juta diperuntukkan, namun kontinjen Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak dan satu gangsa.
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan di bawah Program Road to Rio sebagai persediaan menghadapi Olimpik 2016 di Rio de Janiero, Brazil, seperti diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Belanjawan 2013.
Ketika itu, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa – satu pencapaian yang dianggap cukup membanggakan sekalipun kilauan emas masih gagal dijelmakan.
Di bawah Program Road to Tokyo, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM22.5 juta untuk persiapan atlet negara bagi merealisasikan emas pertama Sukan Olimpik pada temasya edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Namun, peminat sukan tanah air sekali lagi kempunan melihat emas Olimpik apabila kontinjen Malaysia hanya mampu meraih satu pingat perak dan satu gangsa bagi menyamai edisi London 2012.
Kini Program RTG tidak terkecuali mendapat peruntukan kerajaan. Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Sama ada jumlah peruntukan itu mencukupi atau tidak dalam menghadirkan kilauan emas Olimpik pada temasya edisi 2024 di Paris mahupun edisi 2028 di Los Angeles, segala-galanya kini terpulang kepada kontinjen Malaysia.
Walaupun ada pihak yang sinis mengatakan 'lebur' dana awam dibelanjakan semata-mata memburu emas Olimpik, tetapi percayalah masih ada yang berdoa dan tetap setia menanti pingat keramat itu dibawa pulang ke tanah air suatu hari nanti.

Kredit: Sinar Harian

#Sukan Lain #Sukan Olimpik #Program Podium
;