Program cari bakat baru atlet para negara bakal dilaksanakan -- Hannah Yeoh
Ammar Hakim
October 30, 2023 19:41 MYT
October 30, 2023 19:41 MYT
Pasca prestasi luar biasa yang ditampilkan kontinjen Sukan Para Asia di Hangzhou dengan tuaian tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa -- Kementerian Belia dan Sukan diketuai, Hannah Yeoh menjanjikan program pemerkasaan akan disuntikkan dalam program pencarian bakat atlet para negara.
Inisiatif KBS dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) itu menjadi agenda utama dalam misi meneruskan dominasi kem negara di rantau Asia mahupun dunia.
Ideologi yang disuarakan Hannah Yeoh itu bagi pelan jangka masa panjang dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi bagi diketengahkan pada Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 dan Sukan Paralimpik Brisbane 2032.
"Untuk kumpulan atlet para, pencarian bakat kumpulannya agak kecil, sebab itu sekarang kita kena buat lebih banyak promosi untuk pastikan kanak-kanak atau orang muda yang mempunyai kad OKU (Orang Kurang Upaya) keluar dan beri peluang kepada diri mereka sendiri.
"Kita akan latih mereka supaya boleh mewakili Malaysia...kita mahu perkasakan ekosistem atlet para, dengan penambahan RM2 juta (Belanjawan 2024) untuk mereka, saya berharap kita boleh perkasakan lagi sistem sokongan untuk mereka," kata Hannah menerusi Nadi Arena.
Sementara itu, jaguh lontar peluru para dunia, Ziyad Zolkefli, menyambut baik penajaan syarikat korporat dalam bentuk jam tangan pintar -- meraikan kejayaan yang dilakar di Hangzhou tempoh hari.
Situasi itu seiring dengan tuntutan atlet berprestasi tinggi dengan bergantung harap terhadap teknologi demi meningkatkan prestasi.