Pogba: Kami lebih mengenali satu sama lain
Penulis Jemputan
August 20, 2017 08:42 MYT
August 20, 2017 08:42 MYT
Pemain Manchester United, Paul Pogba, percaya bahawa pasukannya kini berada di tahap jauh lebih baik berbanding musim lalu di bawah kendalian pengurus, Jose Mourinho.
Mourinho mula mengetuai United sejak awal musim lalu, membawa The Red Devils menjuarai Piala Perisai Komuniti, Piala EFL serta Liga Europa.
Saingan Liga Perdana Inggeris musim 2017/18 telah mengharungi dua perlawanan dan United berjaya meraih enam mata, lapan jaringan serta tidak melepaskan sebarang gol.
Pogba, yang menjaringkan gol dalam kedua-dua pertemuan menentang West Ham dan Swansea, menyifatkan pasukannya kini jauh lebih berkeyakinan.
“Saya rasa kami lebih yakin. Kami mengenali antara satu sama lain di tahun kedua,” kata Pogba.
“Dalam tahun pertama, kami memiliki pengurus pasukan baru, perlu mengubah pasukan dan itu tidak mudah walaupun memenangi piala.
“Kami bekerja antara satu sama lain dan itu membuatkannya lebih mudah,” tambahnya.
Dalam pertemuan kedua liga menentang Swansea, Henrikh Mkhitaryan mencipta bantuan jaringan buat Pogba dan penyerang, Romelu Lukaku, dan pemain tengah Perancis itu menjelaskan, babak kedua menjadi lebih mudah kerana pasukan lawan cuba untuk mendapatkan gol penyamaan.
“Ia satu perlawanan yang sukar, terutama pada separuh masa pertama kerana mereka (Swansea) bermain dengan lima pertahanan.
“Ruang lebih terbuka selepas itu dan ia membolehkan kami menjaringkan gol kedua, ketiga dan keempat.”