PKBM seru RTG diteruskan, terbukti berkesan

Najmi Iman
August 14, 2024 15:56 MYT
Perseketuan kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memuat naik satu kenyataan menjelaskan bahawa program Road to Gold (RTG) yang diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, perlu diteruskan.
Seperti sedia maklum, perancangan inisiatif tersebut ditubuhkan bagi menjayakan misi memecahkan kebuntuan membutirkan pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.
Timbalan presidennya, Datuk Amarjit Singh, menegaskan meskipun jaguh pelumba berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, tersingkir seawal pusingan pertama akibat melepasi derny sebelum keluar daripada landasan, dia juga telah mencatatkan masa terbaru bagi memperbaharui rekod kebangsaan semasa kelayakan acara pecut sebelum melangkah ke suku akhir.
Dalam masa sama, Amarjit juga berbangga melihat pencapaian dua wakil kebangsaan yang lain, Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati, kerana beraksi di luar jangkaan selepas memperaga keputusan yang memberangsangkan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Izzah yang turut merekodkan catatan baru acara pecut dan Shah Firdaus yang hampir memenangi pingat gangsa sebelum dirempuh perlu diberi tumpuan menjelang edisi seterusnya di Los Angeles 2028.
"Secara jujur, saya tidak sesekali merasakan ia adalah kegagalan bagi atlet berbasikal kerana dalam beberapa aspek ia membawa kejayaan kepada kami.
"Saya memohon supaya pelan jangka masa panjang itu diteruskan dengan konsisten tanpa harus dibatalkan sekiranya ada pentadbiran baru dalam perubahan kabinet menteri," katanya.
#Berbasikal trek #PKBM #Datuk Amarjit Singh #Sukan Olimpik Paris 2024 #Perseketuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia #Road to Gold
;