Piala Tun Ali: Regu lelaki Kuala Lumpur-Perak berentap dalam final
Shaiful Shamsudin
December 7, 2024 23:09 MYT
December 7, 2024 23:09 MYT
Skuad takraw Kuala Lumpur melunas dendam ke atas Negeri Sembilan untuk menempah laluan ke final Piala Tun Ali.
Diwakili barisan sama, Negeri Sembilan Antlers muncul pasukan tunggal yang mencalar rekod cemerlang Kuala Lumpur (KL) Thunder yang hampir dibarisi pemain yang sama dalam Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) musim ini dengan mengalahkan mereka sebanyak dua kali.
Ulangan final STL Champions Cup 2024 itu juga menyaksikan saingan sengit di antara kedua-dua regu yang menampilkan barisan paling kuat.
KL yang di bawah kendalian Niphat Wongpraseot mendahului pada awal set pertama tetapi gandingan Amirul Zazwan Amir, Syahir Rosdi dan Aekkasit Naphom itu gagal mengekalkan momentum.
Sebaliknya trio Negeri Sembilan, Zulefendi Sumari, Haziq Nizam dan Hafizul Hayazi Adnan mengejar lawan untuk mendahului 11-8 sebelum menuju ke kemenangan 15-10.
Lain pula ceritanya dalam set kedua apabila KL membuat percaturan baru dengan menggantikan Syahir dengan Zarif Merican di posisi tekong dan mencipta kemenangan 15-11.
Seperti yang dijangka, aksi sengit menyusul di antara kedua-dua pasukan dalam set penentuan sebelum Negeri Sembilan semakin tenggelam dalam asakan KL yang menang
15-9.
Satu lagi slot final menjadi milik Perak yang mengecewakan Johor yang dibarisi Rattadech Noijareon (tekong), Khairol Zaman (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan).
Anak buah Najib Iman itu cukup sabar dalam meresap segala asakan Perak yang dibarisi pemain kebangsaan antaranya Noraizat Nordin, Meor Zulfikar Mat Amin dan Aidil Aiman Zawawi sebelum ungguli set pertama 15-12.
Berbeza set kedua, rejaman Khairolzaman dan Noraizat Nordin sering menjadi penentu dalam kutipan mata.
Jarak mata yang rapat dab berlarutan hingga ke dius 17-15 sudah cukup membuktikan Perak betapa mahu mengheret aksi ke set penentuan.
Dan usaha Perak itu berhasil untuk menamatkan perjalanan Johor 15-11 selepas berjuang lebih dari sejam.