Lee Zii Jia melahirkan simpatinya kepada Kenta Nishimoto yang bagaikan hilang arah ketika membuka perlawanan suku akhir di antara Malaysia dan Jepun dalam Piala Thomas, sebentar tadi.

Perseorangan negara itu mengesahkan mata pertama buat kem negara dengan kemenangan selesa 21-13, 21-3 -- seterusnya meningkatkan keraguan terhadap masalah dalaman yang mungkin dihadapi seterunya itu.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya dalam set kedua.

"Tumpuannya bagaikan tiada di atas gelanggang.

"Saya pernah berdepan situasi sepertinya. Bukan senang untuk mengatasi situasi ini," katanya selepas perlawanan di Chengdu itu.


Nishimoto sendiri akur dengan prestasinya yang serba tidak menjadi pada hari ini apabila berkata:

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam set keda. Saya tidak dapat mengawal bulu tangkis dan barangkali pihak lawan juga beraksi dengan bagus.

"Saya membuat kesilapan demi kesilapan."