Piala Sultan Johor: Beri pendedahan ialah tujuan asal -- Presiden MHC
Najmi Iman
October 27, 2024 20:17 MYT
October 27, 2024 20:17 MYT
Melihat kepada persembahan skuad muda hoki negara dalam kempen Piala Sultan Johor 2024 B-21, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, tidak gusar dengan prestasi mereka mesikpun menamatkan cabaran di tempat tercorot.
Pasukan bimbingan I. Vikneswaran turut tidak berjaya meraih pungutan mata apabila mencatatkan enam kekalahan dan mengakhiri kedudukan di tempat keenam dalam kempen kali ini.
Pasukan remaja negara bakal menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia di Oman sebagai langkah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja di India.
"Persatuan Hoki Johor dengan kami telah berbincang dan membuat keputusan untuk memanggil pasukan kuasa besar menyertai kejohanan ini.
"Jadi, daripada awal ia bukanlah untuk memenangi piala tetapi tujuan asal adalah memberi pendedahan yang banyak kepada mereka meskipun tidak melalui setiap aksi dengan mudah.
"Pengajaran paling utama kepada jurulatih dan setiap pemain ialah mereka tidak memungut sebarang kemenangan dan mata.
"Bagi saya, saya tidak gusar walaupun banyak yang perlu diperbaiki. Sebulan adalah tempoh yang lama untuk melakukan persiapan dalam kejohanan akan datang dan saya yakin pasukan mampu layak ke Piala Dunia," katanya.