Skuad hoki negara merupakan pasukan paling klinikal setakat ini apabila meledak 17 gol dalam empat perlawanan.

Namun, pada saat penting ketika pertemuan menentang Jepun semalam, pemain negara khususnya Akhimullah Anuar Esook gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Pertembungan ini bagaikan permainan catur -- silap satu langkah boleh dihukum yang akhirnya mematikan momentum negara menerusi jaringan kemenangan pasukan Jepun.

Tekanan The Speedy Tigers semakin memuncak sehingga kesilapan individu sekali lagi menjadi detik kejatuhan barisan yang diketuai Marhan Jalil.

"Kesilapan pertama kami ialah kami memperlahankan rentak permainan ketika kedudukan 1-1. Kami terlampau gopoh untuk menyerang sehingga lupa corak bertahan.

"Bagaimanapun, ia adalah satu pengalaman berharga buat pemain muda untuk menimba ilmu baru," kata pertahanan, Syed Syafiq Syed Cholan.

"Bagi saya, kita tidak boleh menyalahkan barisan serangan dan pertahanan sekali gus dan kesalahan itu datang dari seluruh pasukan," kata pemain yang sudah mengumpul 44 kaps kebangsaan, Amirul Hamizan Azahar.