Skuad badminton negara akan berdepan cabaran sengit Taiwan dan India dalam saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China pada Mei depan.

Dalam majlis undian di venue tuan rumah itu sebentar tadi, Malaysia, yang merupakan pasukan pilihan ketiga bersama Indonesia, diundi untuk berada dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia.

Sebagai rekod, skuad negara menamatkan edisi di Vantaa pada 2021 di peringkat separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada naib juara, Jepun -- yang diundi dalam Kumpulan D bersama Korea Selatan, Perancis dan England.

Pasukan juara bertahan, China, pula berada dalam Kumpulan A bersama Denmark, Singapura dan Mesir.

Indonesia, dalam pada itu, kelihatan akan menjadi pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan B selepas diundi bersama Thailand, Jerman dan Kanada.