Piala Remaja Asia Wanita: India benam Malaysia di Muscat
Saufi Tahir
December 10, 2024 13:22 MYT
December 10, 2024 13:22 MYT
INDIA 5 MALAYSIA 0
Skuad hoki wanita negara terpaksa akur apabila ditewaskan India 0-5 dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Remaja Asia Wanita 2024, di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, malam tadi.
Skuad negara beraksi dengan berdisiplin dalam suku pertama dan kedua dalam membendung asakan pasukan gergasi Asia itu sebelum dibolosi dengan lima jaringan dalam separuh masa kedua.
Tiga jaringan pasukan lawan hadir menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Vaishnavi Vitthal Phalke, dan dua lagi menerusi Deepika dan Siwach Kanika yang turut mencipta nama selaku penjaring.
Jurulatih skuad wanita remaja, Lailin Abu Hassan, beranggapan beberapa kesilapan mudah di bahagian benteng pertahanan menghukum skuad negara yang telah beraksi baik dalam separuh masa pertama.
"Pemain beraksi dengan baik dalam suku pertama dan kedua apabila dapat menahan segala asakan daripada India, tetapi ketika mereka kurang fokus dann kurang menjaga pemain lawan di bahagian belakang menghukum pasukan negara.
"Saya berharap mereka akan fokus pada perlawanan akan datang menentang Bangladesh. Ini merupakan perlawanan yang perlu menang untuk selesa berada dalam saingan peringkat Kumpulan A." katanya.
Credit Photo: Asian Hockey Federation