Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Miroslav Kuljanac, enggan terdesak pertaruhkan penggempur baru, Lazar Sajcic, dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 menentang Negeri Sembilan di Cheras malam ini.

Sebaliknya, Kuljanac, yang mesra disapa Kulio, mahu memberikan masa buat penyerang berusia 27 tahun itu untuk menyesuaikan diri dengan semua aspek sebelum diturunkan dalam sesuatu perlawanan.

Sajcic mampu beraksi di posisi sayap kiri dan kanan, sekali gus menjadi salah satu aset utama buat KL City di jentera serangan.

Pemain berusia 27 tahun dari Croatia itu sudah turun berlatih bersama pasukan itu meskipun baru sahaja tiba di bumi Malaysia minggu lalu.

"Saya tidak mahu memaksanya bermain, saya akan melihat keadaannya terlebih dahulu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Jika kami memerlukannya, saya akan menyenaraikannya tetapi kami masih ada masa.

"Kami ada perlawanan seterusnya menentang PDRM pada 27 April ini, dan saya rasa dia akan lebih bersedia untuk perlawanan itu

"Masih terlalu awal untuk berkata apa-apa kerana dia baru tiba dan baru menyesuaikan diri dengan keadaan, cuaca dan makanan di sini.

"Saya sedar perkara itu dan tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan," katanya.

Aksi Piala Menteri Wilayah akan menjadi aksi penting apabila penggunaan video bantuan pengadil (VAR) akan diuji buat kali pertama di Malaysia dalam perlawanan itu.