Piala FA: Mereka bukan lagi budak-budak -- Nidzam Jamil bangga pemain muda pacu Selangor ke separuh akhir

Muzaffar Musa
July 7, 2024 18:14 MYT
"Mereka kini bukan lagi budak-budak tetapi lelaki matang yang boleh saya harapkan," kata ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, selepas pemain mudanya memainkan peranan penting membawa The Red Giants ke separuh akhir Piala FA.
Nidzam mengakui telah menetapkan senarai pemain yang perlu menggalas tanggungjawab seandainya aksi menentang Kuching City di Petaling Jaya malam tadi berlarutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, dengan dua kad merah yang diterima mereka, senarai itu tidak lagi boleh digunakan dan Selangor terpaksa mengharapkan kepada pemain muda untuk menyempurnakan kesemua sepakan berkenaan.
Aksi padat aksi dan drama itu menyaksikan Selangor memadamkan kelebihan Kuching City dengan kemenangan 3-2, sekali gus terikat 4-4 secara agregat selepas 120 minit permainan.
Mereka terpaksa menamatkan aksi dengan sembilan pemain gara-gara Yohandry Orozco dan Reziq Bani Hani dilayangkan kad merah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), sekali gus menyaksikan The Red Giants terpaksa bertahan sepanjang 30 minit masa tambahan.
Aksi dramatik itu tidak hanya tertumpu kepada suhu di atas padang, bahkan kelancaran perlawanan itu turut terganggu dengan insiden lampu limpah terpadam dan kegagalan VAR sehingga ia terpaksa dihentikan selama hampir 20 minit.
Di sebalik ujian berkenaan, Selangor tetap melayakkan diri ke separuh akhir dengan kemenangan 5-3 dalam penentuan penalti, di mana hampir kesemua pemain yang mengambil tanggungjawab itu terdiri daripada pemain muda.
"Saya meminta Safuwan (Baharudin, kapten Selangor) untuk mengetuai mereka dan selebihnya mereka yang tentukan sendiri," kata Nidzam dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kami memiliki senarai nama pemain yang akan mengambil sepakan tetapi dalam situasi ini, ia bergantung kepada siapa yang lebih berkeyakinan dan menawarkan diri untuk mengambilnya.
"Dalam situasi seperti ini, senarai itu kami koyak dan buang ke tepi kerana apabila Safuwan memulakan sepakan itu, pemain lain akan lebih yakin untuk menyusul selepasnya," katanya.
#bola sepak #Piala FA #Nidzam Jamil #Kuching City FC #Selangor FC