Hatrik Gabriel Jesus pacu kemenangan Arsenal menewaskan Crytsal Palace 3-2 dalam pertembungan suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.

Jean-Philippe Mateta terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit keempat untuk pasukan pelawat bertahan sehingga tamat separuh masa pertama, namun kebangkitan skuad kendalian Mikel Arteta pada babak kedua memastikan mereka layak ke separuh akhir meskipun Eddie Nketiah merapatkan jurang pada minit ke-85.

Sementara itu, Newcastle United juga mengikuti jejak langkah The Gunners untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya apabila mudah mengalahkan Brentford 3-1 di Stadium St. James.

Sandro Tonali dan Fabian Schar mencetak nama selaku penjaring tatkala The Magpies melakukan 23 percubaan dan menguasai keseluruhan permainan dengan penguasaan sebanyak 55 peratus.

Dalam masa sama, Southampton gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas akur kepada kehebatan Liverpool yang menepati ramalan ke separuh akhir Piala EFL.

Walaupun kehilangan khidmat Diogo Jota, pasukan bimbingan Arne Slot tidak mempunyai masalah untuk menundukkan Southamptn menerusi jaringan Darwin Nunez dan Harvey Elliott dengan keputusan tamat 2-1.

Juara Piala FA Inggeris 2023, Manchester United, akan bertemu Tottenham Hotspur dalam aksi suku akhir, awal pagi ini.