NEW ZEALAND 28 IRELAND 24

Impian Ireland untuk bergelar juara Piala Dunia Ragbi 2023 musnah di peringkat suku akhir selepas tewas 24-28 kepada New Zealand di Paris awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Andy Farrell itu diletakkan harapan besar untuk mencipta sejarah sebagai pasukan Ireland pertama layak ke separuh akhir kejohanan itu.

Bagaimanapun, mereka ketinggalan hampir sepanjang keseluruhan perlawanan di Stade de France itu dan tidak dapat merencanakan kebangkitan untuk membenarkan All Blacks mencongak perhitungan dengan Argentina bagi penentuan ke final.

Try daripada Bundee Aki dan Jamison Gibson Park selain penalti memberikan Kiwi harapan untuk terus mengejar kedudukan All Blacks sepanjang aksi penuh tekanan itu.

Namun, juara dunia tiga kali, New Zealand, jelas menunjukkan mereka masih lagi kuasa besar dalam arena ragbi dengan Leicester Fainga’anuku, Ardie Savea dan Will Jordan kelihatan bermaharajalela membawa pasukan itu ke separuh akhir.

Lapan mata daripada sepakan Jordie Barret dan lima disumbangkan Richie Mo’unga turut membantu All Blacks meneruskan kemaraan biarpun Aaron Smith dan Codie Taylor dilayangkan kad kuning.

Kekalahan di Saint-Denis itu juga menamatkan rentetan 17 kemenangan berturut-turut buat Ireland dan menjadi penamat karier pemain veteran, Johnny Sexton, yang menyepak masuk tujuh mata tetapi gagal menyempurnakan penalti penting dalam perlawanan itu.