Piala Dunia Ragbi: Ian Foster enggan New Zealand dilabel pasukan pilihan hadapi Argentina
Muzaffar Musa
October 20, 2023 11:28 MYT
October 20, 2023 11:28 MYT
Ketua jurulatih New Zealand, Ian Foster, memberikan amaran buat pasukannya bahawa rekod pertemuan lalu tidak boleh dijadikan sebagai ukuran menjelang pertemuan separuh akhir Piala Dunia Ragbi menentang Argentina awal pagi esok.
Ini selepas All Blacks dilihat sebagai pasukan pilihan untuk layak ke final kejohanan terbesar itu.
Juara dunia tiga kali berkenaan hanya tewas dua daripada 36 perlawanan terakhir menentang Los Pumas dan dijangka akan meraih kemenangan dalam penentuan ke final di Stade de France awal pagi esok.
"Ada dua pasukan dalam pertemuan separuh akhir ini dan sesiapa sahaja boleh menang," kata pengendali All Blacks itu.
"Itulah penetapan minda utama yang dimiliki kedua-dua pasukan ini.
"Kami amat menghormati Argentina. Kami sedar mreka sedang melalui satu kejohanan yang hebat.
"Kami tidak terperangkap dengan keputusan lalu. Piala Dunia Ragbi adalah berkenaan apa yang sedang berlaku ketika ini. Ia tentang pasukan terbaik pada malam itu.
"Jika anda turun dalam separuh akhir Piala Dunia dengan jangkaan bahawa apa yang berlaku sebelum ini akan berulang, anda akan mengalami masalah besar," katanya.