Erik ten Hag mahu Harry Maguire supaya mengulangi prestasinya di England ketika mewakili Manchester United untuk merebut semula tempat dalam barisan The Red Devils.

Maguire hanya membuat tiga permulaan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk United musim ini sebelum ke Piala Dunia dan membuat kemunculan dalam kelima-lima perlawanan sebelum tersungkur dalam suku akhir.

Gareth Southgate berulang kali menyokong pertahanan tengah itu di pentas antarabangsa di sebalik Raphael Varane dan Lisandro Martinez menjadi gandingan pilihan Ten Hag di bahagian tengah pertahanan United pada musim ini.

Selepas England disingkirkan Perancis kelmarin, Ten Hag berharap Maguire kembali ke Old Trafford dengan penuh keyakinan bersandarkan persembahan mengagumkannya di Qatar.

"Saya hanya mampu menyokongnya. Saya telah ditanya berkali-kali adakah dia cukup bagus (untuk beraksi di bawah kendalian) dan jelas sekali dia cukup bagus untuk bermain di peringkat tertinggi," kata pengurus United itu kepada pemberita.







“Dan kemudian terpulang kepadanya untuk mempamerkan keyakinan itu di atas padang dan dia tidak menunjukkannya dalam semua perlawanan (bersama United).

"Apabila dia beraksi dengan tahap keyakinannya seperti sekarang, dia adalah pemain yang sangat penting untuk kami dan itulah yang semua orang jangkakan. Itulah yang Harry harapkan daripada dirinya.

"Dia mempunyai standard yang tinggi itu, dia mahu tampil di peringkat tertinggi, dia mahu mengetuai barisan pertahanan, jadi terpulang kepadanya. Saya pasti dia mempunyai potensi untuk bermain dengan gaya kami dan sesuai dengan sistem kami.




"Dia memiliki keyakinan sepanjang mewakili England, hampir sepanjang perlawanan dia beraksi baik. Dia mempunyai detik buruk di Manchester dan sudah tentu wujud kesukaran tetapi apabila dia yakin dengan dirinya sendiri, dia akan menonjolkannya di atas padang.

“Apabila dia bekerja keras, dia akan mendapat keyakinan itu dan anda boleh menyaksikannya ketika dia bermain untuk England.

"Kami mahu dia mengulangi prestasi serupa di Manchester supaya dia boleh mempamerkan (keyakinannya) di atas padang untuk Manchester United. Saya menaruh harapan ke atasnya, pasukan tahu apa yang mereka harapkan daripadanya. Jika dia berbuat demikian maka dia akan menjadi pemain yang hebat untuk kami."