BRAZIL 2 SERBIA 0

Richarlison mencetak dua gol ketika Brazil membuka kempen Piala Dunia di Qatar dengan kemenangan 2-0 ke atas Serbia.


Penyerang Tottenham itu memecah kebuntuan perlawanan menerusi penyudah dari jarak dekat sejurus selepas sejam pertembungan di Stadium Lusail, sebentar tadi.

Richarlison kemudiannya mengesahkan mata penuh dengan sepakan akrobatik yang menakjubkan -- 17 minit menuju wisel penamat tatkala pasukan kendalian Tite itu memulakan kempen Kumpulan G dengan kemenangan.

Selecao kekal tanpa kalah dalam perlawanan pembukaan mereka sejak pusingan akhir 1934 yang menyaksikan mereka tersungkur 1-3 kepada Sepanyol dalam aksi pertama.

Belum tewas sepanjang 15 perlawanan terakhir di peringkat kumpulan, Brazil menguasai separuh masa pertama tanpa mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol.

Casemiro sempat menguji Vanja Milinkovic-Savic dalam satu usaha bercita-cita tinggi dari jarak jauh dan penjaga gol Serbia itu turut bertindak pantas ketika menghalang usaha Vinicius Junior untuk menyambar hantaran tepat Thiago Silva.

Skuad Selecao berkesempatan menggegar gawang lawan lebih awal tetapi rembatan hasil hantaran satu-dua yang kemas di antara Raphinha dan Lucas Paqueta pada minit ke-35 menuju tepat tepat ke arah Milinkovic-Savic.





Brazil melancarkan asakan lebih jitu selepas rehat yang menuntut Milinkovic-Savic menafikan percubaan Raphinha -- memperdayakan Nemanja Gudelj di luar kawasan kotak penaltinya sendiri -- manakala Neymar sekadar merembat liar ketika terlepas peluang dari jarak.

Percubaan Alex Sandro dari jarak 30 ela itu menggegarkan tiang sebelum skuad Samba berkenaan akhirnya berjaya menembusi gawang lawan pada minit ke-62; Richarlison melonjakkan tinggi untuk menyambut bola muntah yang ditepis Milinkovic-Savic dalam percubaan awal Vinicius.

Richarlison kemudian memberi Brazil ruang untuk bernafas 11 minit kemudian apabila menyambut hantaran silang rendah Vinicius dengan kaki kirinya, sebelum berputar melakukan voli akrobatik dengan kaki kanannya.

Anak buah Tite itu hampir melebarkan kelebihan mereka ketika usaha Casemiro terkena palang dan Milinkovic-Savic juga menafikan percubaan Rodrygo, tetapi jurang dua gol berkenaan sudah memadai untuk meletakkan mereka di puncak Kumpulan G.