Luke Shaw mengakui England motivasi makin melonjak menuju pertembungan Piala Dunia menentang Wales selepas lawan mereka itu meraikan penyingkiran The Three Lions dalam Euro 2016.

Sebuah video tular ekoran kekalahan memalukan England kepada Iceland dalam pusingan 16 terakhir, enam setengah tahun lalu yang memaparkan pemain Wales mengejek kegagalan jiran mereka itu.

Wales melepasi jangkaan apabila mara ke separuh akhir kejohanan itu walaupun tewas kepada England di peringkat kumpulan, sebaliknya kempen di Qatar pula kurang memberangsangkan.

The Dragons memerlukan kemenangan ketika berdepan England di Stadium Ahmed bin Ali, Rabu depan, sekiranya mereka berhasrat mengelak terkandas di peringkat kumpulan sambil berharap aksi Amerika Syarikat (AS) dan Iran berakhir dengan keputusan seri.

Sekiranya Wales membelasah England dengan empat gol, ia juga sudah memadai tetapi Rob Page itu tumpas dalam keenam-enam pertemuan terakhir di antara mereka.

Shaw -- yang memainkan peranan penuh dalam kemenangan England 6-2 ke atas Iran dan ketika seri tanpa jaringan dengan AS -- percaya kejadian 2016 itu akan merancakkan perlawanan berkenaan.

"Saya rasa kita boleh cakap begitulah keadaannya," katanya.





"Tetapi motivasi kami sendiri perlu berada di tahap tertinggi. Kami berada dalam Piala Dunia. Kami mempunyai matlamat besar untuk dicapai.

"Kami perlu mempunyai motivasi maksimum dalam setiap perlawanan. Saya tidak fikir ada matlamat lain selain daripada itu.

"Ia tidak bagus. Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu.

"Saya mahu fokus kepada apa yang kami lakukan di atas padang. Kami boleh ditemu bual tetapi saya lebih suka membuktikannya di atas padang."