Piala AMEC: Bagaikan satu keluarga, tidak boleh salahkan sesiapa -- Pertahanan Selangor
Najmi Iman
December 15, 2024 18:21 MYT
December 15, 2024 18:21 MYT
Insiden dibolosi mudah berdepan Thailand dalam Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 semalam merupakan kesilapan kedua penjaga gol negara, Haziq Nadzli, menentang pasukan yang sama sewaktu perlawanan separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Sudah tentu, ia dianggap satu kerugian memandangkan keseluruhan tonggak Harimau Malaya menampilkan corak permainan positif terutamanya ketika bertahan dengan baik di bawah pimpinan pertahanan Selangor, Ahmad Khuzaimi Piee.
"Bagi saya, semua pemain memberikan sehabis mungkin. Kami semua kecewa dengan diri sendiri kerana sudah bermain dengan baik, cuma rezeki tidak menyebelahi kami.
"Kami tidak boleh mengalah sekarang. Kami cuba semula di aksi seterusnya," katanya di Nadi Weekend.
Sususlan ketiadaan Danial Ting dan Dominic Tan yang dipanggil semula oleh Sabah, bekas pemain Negeri Sembilan itu membentuk gandingan kebal bersama Declan Lambert dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Begitupun, Khuzaimi jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya itu akibat tewas dengan gol mudah selepas tamat aksi ketiga Kumpulan A itu.
"Apabila berada di kem kebangsaan, ia bagaikan satu keluarga dan tidak boleh menyalahkan sesiapa.
"Kami perlu bersama antara satu sama lain walau apa pun yang terjadi," tambahnya.