Beregu nombor satu lelaki dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, terpaksa menamatkan permulaan musim 2025 tewas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

Astrup-Rasmussen menamatkan musim 2024 bergelar beregu nombor satu dunia, apabila menjuarai Jelajah Dunia BWF Akhir menewaskan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di final.

Bertemu pasangan dari Chinese Taipei, Wang Chi-lin yang bergandingan dengan pasangan baru, Chiu Hsiang-chieh, menampilkan permainan yang cukup dramatik.

Wang Chi-lin hadir dengan pengalaman selaku juara berganda Sukan Olimpik, bersama pasangan baru, Chiu Hsiang-chieh, berjaya menampilkan permulaan cemerlang apabila menang 21-16 dalam set pertama.

Ketinggalan menyaksikan wakil Denmark itu mempamerkan kerja keras sekaligus memastikan mereka mengheret permainan ke set penentuan menerusi kemenangan 21-18.

Permainan yang cukup menarik ditampilkan kedua-dua beregu, menyaksikan mereka terikat 20-20 dalam set penentuan, sebelum Wang-Chiu menoktahkan kemenangan 22-20 sekaligus menamatkan cabaran beregu nombor satu dunia itu di pusingan pertama.