Petronas Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik cetus cemas sebelum ke pusingan kedua
Muzaffar Musa
January 8, 2025 20:02 MYT
January 8, 2025 20:02 MYT
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, membuat peminat badminton tanah air tidak senang duduk sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia di Arena Axiata sebentar tadi.
Berdepan beregu bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, gandingan negara itu kelihatan tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan 21-15 dalam set pertama.
Bagaimanapun, beregu pilihan kelima kejohanan itu kemudian tewas mengejut 16-21 dalam set kedua, sekali gus terpaksa beraksi dalam set penentuan.
Aaron dan Wooi Yik kemudian kembali mempamerkan penguasaan dalam set ketiga untuk meraih kemenangan 21-10 selepas secara keseluruhan bertarung selama 58 minit.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara dua beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han dan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen, bagi penentuan ke suku akhir esok.