Pestabola Merdeka 2024: Aksi kompetitif di Penang beri kelebihan buat Syamer Kutty Abba

Najmi Iman
September 5, 2024 17:18 MYT
Kredibiliti Syamer Kutty Abba harus diberi pujian sebagai watak utama kebangkitan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan Separuh Akhir 1 Pestabola Merdeka 2024 menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kehadiran pemain berusia 26 tahun itu yang kembali mempengaruhi bahagian tengah untuk sentuhan sulung Pau Marti Vicente selepas menjadi arkitek menghubungkan di antara barisan pertahanan dan serangan.
Usaha kerasnya selama ini terbalas apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43 yang juga merupakan jaringan keduanya bersama pasukan Malaysia, sekali gus dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, menyifatkan musim ini ialah musim yang cukup besar buat Syamer Kutty tatkala keputusan pulang ke kelab kampung halaman itu sebagai pemain pinjaman mendatangkan hasil positif untuk pendedahan aksi kompetitif.

Syamer Kutty Abba ? Pemain tengah itu menyamakan kedudukan di Stadium Bukit Jalil!#HarimauMalaya #PestaBolaMerdeka pic.twitter.com/QPRmaozH6w

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) September 4, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Selepas sekian lama, pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) itu teruja berhadapan situasi sebenar permainan selain konsisten kerap diturunkan di Penang," katanya sebagai tetamu di rancangan pasca perlawanan malam tadi.
Tambah pemenang Kasut Emas 2009, Nizaruddin Yusof: "Teknik percubaan Syamer seakan seorang penyerang berkualiti dan secara keseluruhan dia memainkan peranan yang sangat penting mengimbangi permainan baik ketika menguasai atau kehilangan bola pasukan negara."
#bola sepak #Malaysia #Syamer Kutty Abba #Pestabola Merdeka 2024