Persahabatan Antarabangsa: Jumpa kelab New Zealand beri manfaat sebelum aksi sebenar -- Kogileswaran Raj

Muzaffar Musa
October 8, 2024 19:42 MYT
Perlawanan menentang sebuah kelab utama Liga New Zealand tetap memberikan manfaat kepada barisan pemain Harimau Malaya sebelum aksi sebenar menentang skuad kebangsaan negara itu pada Isnin ini.
Itu pandangan bekas pemain negara, Kogileswaran Raj, ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Bekas bintang Sri Pahang itu turut berkongsi pandangan mengenai ketiadaan ketua pasukan, Dion Cools, dan kehadiran dua pemain muda dalam pasukan kebangsaan kali ini.
Harimau Malaya bimbingan Pau Marti kempunan untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini.
Ini selepas pasukan di rantau itu seperti Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti dan Papua New Guinea tidak dapat memenuhi pelawaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana mempunyai komitmen lain.
Ia menyaksikan hanya New Zealand menjadi negara tunggal yang bakal diuji skuad kebangsaan selain sebuah kelab di negara berkenaan pada Jumaat ini.
Keadaan itu menjadi perdebatan dalam kalangan peminat, yang beranggapan aksi menentang pasukan berstatus kelab tidak memberi sebarang keuntungan buat Harimau Malaya.
"Yang pertama, kita perlu menyesuaikan diri dengan cuaca di sana kerana seperti yang kita tahu, New Zealand amat sejuk.
"Saya rasa kelab-kelab di New Zealand juga bagus bukannya tidak bagus. Mereka bermain dalam liga yang bersaingan tinggi.
"Ia akan memberikan keserasian buat pemain dan jurulatih dapat menilai pemain untuk diturunkan sebagai kesebelasan terbaik.
"Saya pernah bermain dengan Dion Cools, dia seorang pemimpin yang amat bagus tetapi saya rasa dia ketika ini perlu menguruskan keluarganya.
"Tetapi kita juga memiliki pemimpin lain di dalam skuad kebangsaan seperti Matt Davies dan Corbin Ong dan saya rasa pemain pasti dapat menyesuaikan diri dengan kapten baru.
"Dengan barisan pemain kali ini, saya rasa kita mampu mendapatkan sesuatu yang positif di New Zealand," katanya.
#bola sepak #New Zealand #Harimau Malaya #Persahabatan Antarabangsa #Kogileswaran Raj
;