Penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) terkilan dengan keputusan Selangor menarik diri kerana rata-ratanya sudah melakukan perancangan untuk menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam esok.

Lebih-lebih lagi membabitkan penyokong pasukan itu yang berada di Lembah Klang dan mengeluarkan kos logistik seperti pengangkutan dan tempat tinggal.

"Saya difahamkan tiket sudah habis dijual. Deposit sewa bas dan ada peminat yang ambil cuti.

"Termasuk pihak keselamatan dan stadium. Semua ini menjejaskan dan melibatkan kewangan yang tinggi.

"Sepatutnya Selangor mempertimbangkan untuk menarik diri," kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Lembah Klang, Khairul Bahar Taib.

Penyokong Harimau Selatan mahu menjadikan perlawanan itu sebagai medan solidariti buat Faisal Halim, namun hasrat mereka tidak akan menjadi kenyataan susulan penarikan diri Gergasi Merah berkenaan.

"Kami sudah buat persiapan kain rentang.

"Kebiasaannya pemain akan melakukan solidariti untuk rakan mereka seperti 'one minute silence' dan doa selamat.

"Jadi kami amat terkilan (dengan pembatalan perlawanan ini," kata seorang lagi penyokong JDT, Faeiz Abdullah.