JOHOR DARUL TA'ZIM 2 TERENGGANU 0

Johor Darul Ta'zim FC (JDT) memulakan saingan Liga Super musim ini dengan nota positif apabila menewaskan Terengganu FC 2-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Jaringan daripada Juan Muniz dan Bergson da Silva dalam babak berbeza memastikan pasukan juara bertahan Liga Super itu memungut tiga mata pertama, sekali gus mengekalkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di bumi Johor sejak 2018.

Harimau Selatan kelihatan selesa mengawal permainan dan berhasil merobek gawang Suhaimi Husin seawal minit kelima apabila Juan Muniz bijak menghidu lintangan Bergson dari sebelah kiri sebelum melompat tinggi untuk menanduk masuk bola ke jaring Terengganu.

Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu memberikan respons segera untuk memburu gol penyamaan tetapi larian solo yang dilakukan Sony Norde berakhir dengan rembatan jarak jauh yang melambung tinggi.

JDT terus menguasai permainan selepas waktu rehat dan hampir menggandakan kelebihan mereka pada lima minit pertama babak kedua, di mana Arif Aiman Hanapi melakukan gerakan licik untuk masuk ke kawasan penalti dari sebelah kanan tetapi rembatan yang dilepaskannya tepat menuju ke arah Suhaimi.

Bagaimanapun, tujuh minit kemudian, Arif Aiman, yang menerima bola daripada sepakan percuma Fernando Forestieri, bertindak melakukan lintangan yang betul-betul melintasi depan gawang Terengganu untuk mudah ditolak masuk Bergson.

Kemenangan itu menyaksikan JDT menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut sejak kali terakhir ditewaskan Kedah Darul Aman FC setahun sebelumnya.

Mereka seterusnya akan bertandang ke Cheras bagi perlawanan bertemu Kuala Lumpur City FC pada Rabu depan sambil Terengganu pula akan ke Alor Setar untuk membuat perhitungan dengan Kedah pada hari yang sama.