Perez tolak dua tawaran pasukan F1 untuk kekal bersama Red Bull

King Hisyam
November 14, 2024 14:29 MYT
Pemandu Red Bull, Sergio Perez, membuat pengakuan bahawa dia telah menolak tawaran yang diterima daripada dua pasukan Formula 1 untuk menyertai mereka musim depan.
Pemandu berasal dari Brazil itu mengakui beliau ketika ini tidak berminat untuk menyertai mana-mana pasukan lain untuk meneruskan kariernya dalam dunia perlumbaan paling elit dunia itu.
Malah, kontraknya bersama pasukan Red Bull telah pun disambung lebih awal untuk terus kekal bersama mereka, sekali gus menutup ruang untuk pasukan lain mendapatkan khidmat beliau bagi musim 2025.
Walaupun sebelum ini prestasinya agak membimbangkan selepas terjatuh ke tangga kelapan dalam carta keseluruhan pemandu, namun nyata ia bukanlah alasan kukuh untuk menyingkirkanya ketika ini.
Jika dibandingkan jurang dengan rakan sepasukannya, Max verstappen, ketika ini dipisahkan dengan agak besar, namun Red Bull kelihatan masih yakin bahawa Perez mampu melakukan kebangkitan yang lebih baik untuk musim akan datang.
Verstappen ketika ini semakin hampir untuk memburu kejuaraan keempat berturut-turutnya, namun agak sedikit malang apabila Red Bull berada di kedudukan ketiga dalam ranking pengeluar.
Perez hanya mampu mengutip 48 mata sepanjang mengharungi 15 pusingan perlumbaan.
"Saya mempunyai peluang, iaitu dua peluang untuk menukar pasukan, namun bila saya berfikir dan mengamati secara terperinci saya sedar bahawa saya masih sangat suka cabaran yang ada dalam pasukan Red Bull," Katanya kepada media tanpa menamakan pasukan mana yang sebenarnya telah menawarkan kontrak kepada beliau.
Tambah beliau lagi, buat masa ini, dia hanya mahu menghabiskan fasa terakhir dalam kariernya dengan mendapatkan kedudukan lebih baik atau pencapaian yang boleh dibanggakan dengan pasukan Red Bull.
Malah, beliau yakin Red Bull adalah pasukan yang paling sesuai dan kompetitif untuk merealisasikan hasratnya itu.
Dalam masa yang sama beliau turut mengakui bahawa tidak mudah untuk menjadi rakan sepasukan Max Verstappen, yang sentiasa mempamerkan prestasi pencapaian yang konsisten.
Sudah pastinya perbandingan pencapaian akan sentiasa dilontarkan kepadanya jika pencapaian mereka berdua tidak selari.
"Ia adalah satu cabaran besar menjadi rakan sepasukan Max. Ia adalah cabaran yang pada asasnya melatih anda untuk hadapi semua cabaran itu," katanya lagi.
#Red Bull #Sergio Perez #Sukan Permotoran #F1 #Formula 1
;