Penajaan produk sukan beri Fiross Faizal 'tonik tambahan' menyinar musim depan

Aleqha Zainal
November 19, 2024 18:42 MYT
Atlet 110 meter lari berpagar negara, Muhammad Fiross Mohd Faizal, mengakui terharu apabila ada pihak sudi menaja kelengkapan sukan buatnya bagi mengharungi kejohanan utama bermula tahun hadapan.
Ini susulan pendedahan Nadi Arena pada 21 Oktober lalu yang melaporkan Fiross menamatkan saingan 110 meter lari berpagar dalam saingan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di tempat kedua dengan kondisi kasutnya yang koyak.
Pemenang pingat emas Sekolah Sukan-Sukan Asean 2024 itu turut percaya bahawa penajaan ini mampu menyuntik semangatnya untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
"Dengan penajaan ini, saya bertambah semangat untuk terus berlatih dan ia memudahkan urusan latihan saya. Saya akan terus fokus dan cemerlang dalam prestasi saya."
"Terima kasih kepada syarikat produk sukan sebab menaja saya, tahun 2024 sudah tiada kejohanan lagi jadi saya akan teruskan dengan sesi sebelum kejohanan untuk pembukaan tahun 2025." katanya
Tambahan, pada selasa Fiross secara rasminya menerima tajaan barangan sukan jenama antarabangsa dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Shah Alam, hari ini.
"Kami melihat dia sangat berpotensi untuk menyerlah dan memberikan sokongan iaitu tajaan kasut jenama Brooks.
"Kami berharap dia dapat menilai industri sukan Malaysia. malahan, membawa nama kami ke peringkat antarabangsa." tambah Vivian Pang.
#Olahraga #Fiross Faizal #Brooks
;