Peluang Sivasangari ikut jejak Nicol


April 5, 2024 08:54 MYT
Juara Klasik London, S Sivasangari berada di landasan yang tepat untuk mengikut jejak langkah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David setanding dengan jagoan elit dunia dalam arena sukan tersebut.
Penganalisis sukan, Rizal Hashim berkata, pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun perlu diberikan peluang untuk melalui proses pembinaan kerjaya yang betul sekali gus mengelak tekanan tinggi ke atasnya.
Beliau berkata, Sivasangari berjaya meneruskan momentum positif setelah meraih pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu dan kemudian merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Klasik London pada Isnin.
“Sivasangari berada di landasan yang betul untuk mengikut jejak langkah Nicol.
“Cuma kita kena bagi ruang untuk Sivasangari bernafas. Jangan terlalu cepat sanjung sehingga beri tekanan berganda. Biar dia berkembang pada kadar sedia ada.
“Selepas menang emas di Sukan Asia, Sivasangari meneruskan rentak positif dalam kariernya,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun yang menghuni kedudukan 13 dunia itu menyingkirkan cabaran bintang nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 untuk mengungguli kejohanan bertaraf emas tersebut di Alexandra Palace London.
Rizal berkata, Sivasangari melalui perjalanan yang sukar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang memaksanya berehat lama untuk menjalani proses pemulihan.
Tambahnya, bagi meneruskan momentum kemenangan tersebut dan untuk memastikan prestasinya kekal berada pada tahap terbaik, pemain yang berasal dari Kedah itu perlu kekal menjalani latihan di luar negara.
“Bukan senang untuk seorang atlet berprestasi tinggi berehat lama akibat kecederaan daripada kemalangan untuk kembali cergas dan mendominasi peringkat antarabangsa. Kita biarkan Sivasangari mendaki ranking secara sistematik.
“Saya percaya dengan sokongan semua pihak, Sivasangari boleh memenuhi potensi dengan syarat dia kena terus berkampung di luar negara.
“Sivasangari berada di Cornell, New York menerima asuhan daripada juara dunia dua kali, David Palmer, manakala Nicol dulu bermastautin di Amsterdam.
“Persekitaran luar Malaysia harus membantu Sivasangari agar terus fokus kepada kerjaya demi mengharumkan nama negara,” katanya.-Sinar
#Nicol David #S. Sivasangari #Skuasy Klasik London
;