Saya teruja dengan pengumuman Astro kembali sebagai penyiar rasmi untuk Liga Malaysia (Liga M) selama tiga tahun bermula 2023.

Sebagai sebahagian daripada kelompok pengulas generasi pengasas Astro Arena yang membawakan perlawanan liga tempatan pada 2011 hingga 2015, saya berasakan ini adalah kolaborasi yang dinanti-nantikan oleh peminat.

Detik permulaan Astro Arena menemui peminat seiring dengan kejayaan skuad negara bimbingan Datuk K. Rajagobal muncul juara Piala AFF pada 2010.

Serentak itu, bola sepak tempatan mendapat impak positif. Peminat mula kembali memeriahkan stadium.

Mereka yang dahulu malas ke stadium sudah mula menunjukkan sokongan terhadap pasukan kebangsaan serta negeri dan kelab yang diminati.

Mereka yang dahulu patah semangat dengan senario bola sepak tempatan mula menanam tekad kembali menyokongkan industri bola sepak tempatan.

Dengan platform media sosial berteraskan Facebook dan Twitter, ruang untuk bola sepak dipasarkan secara komersial mendapat capaian yang meluas.

Hadirnya Astro Arena sebagai penyiar rasmi pada 2011 merancakkan Liga M.

Sebagai saluran yang dikhususkan untuk sukan, team perintis Astro Arena diberi lesen untuk menayangkan kreativiti pada tahap yang tinggi, dengan penerbitan pelbagai kamera atau multi-camera production yang menunjukkan sudut-sudut perlawanan dengan ulang tayang pada kadar segera.

Penonton juga disajikan dengan jadual perlawanan berbeza yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penyiar, iaitu membahagikan jadual perlawanan kepada tiga hari – Jumaat, Sabtu dan Ahad agar peminat yang dahagakan perlawanan secara langsung membabitkan pasukan mereka dapat menikmatinya pada hari-hari yang berbeza.

Selain itu, kandungan-kandung eksklusif seperti analisis sebelum sepak mula, ulasan separuh masa pertama dan analisis pasca perlawanan membawa dimensi baharu kepada penyiaran secara langsung perlawanan bola sepak tempatan.

Gabungan hiburan dan sukan ini menjadi formula yang membantu Astro Arena menaikkan profil liga tempatan, sekali gus meninggikan nilai komersial Liga M.

Hari ini, penonton Astro berpeluang menikmati kandungan seperti sorotan perlawanan, sidang media pra-perlawanan, paparan ketibaan pasukan, sesi latihan dan temu bual di padang sebagai elemen tambahan dengan tujuan memberi nilai tambah dan pendedahan jenama sebagai pulangan atas pelaburan buat rakan penaja MFL.

Untuk tiga tahun mendatang ini, Astro dan Astro Arena khususnya harus menaikkan profil Liga M pada kadar jauh lebih tinggi berbanding tempoh 2011-2015.

Piawaian baharu menanti mutu penyiaran bola sepak tempatan. Yang pasti, peminat bola sepak tempatan yang dahagakan elemen penyiaran terbaik dalam siaran definisi tinggi tidak akan kehausan.