Pelajaran, sukan perlu seimbang -- Carmen
Penulis Jemputan
September 21, 2017 21:03 MYT
September 21, 2017 21:03 MYT
Perjalanan karier sebagai atlet tidak akan terhenti setakat ini sahaja buat perenang muda negara, Carmen Lim, selepas menggondol pingat emas Sukan Para ASEAN 2017 menerusi acara 50 meter gaya bebas S8 meskipun bakal menyambung pengajian di England, Disember depan.
Carmen menjadi atlet termuda dalam temasya di Singapura, dua tahun lalu dan sejurus temasya di Kuala Lumpur ini berakhir, jadualnya pasti lebih padat apabila bakal ke England untuk menyambung pengajian.
Cita-cita tetap menjadi fokus utamanya untuk bergelar seorang peguam suatu hari nanti tetapi sukan renang kekal menjadi kegemarannya untuk terus berlatih kerana misinya adalah layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Gadis berusia 17 tahun itu, yang kudung tangan kiri sejak lahir, menganggap pencapaian positif di pentas Sukan Para ASEAN buat kali kedua ini merupakan faktor utama untuknya terus mengukir nama di pentas antarabangsa.
"Ini bukan kejohanan terakhir saya. Saya tahu saya masih muda. Saya akan kembali apabila saya perlu sertai kejohanan. Saya mesti imbangi dengan pelajaran. Pelajaran adalah paling utama," katanya.
Secara keseluruhan, dia berpuas hati dengan masing-masing satu emas, perak dan gangsa yang dimenanginya, apatah lagi dia turut memperbaharui rekod kejohanan miliknya dalam acara kegemarannya, 50m gaya bebas, dengan catatan 36.48 saat.
"Saya mahu memecahkan rekod ini kerana saya yakin saya boleh lakukan. Buat masa ini, saya tidak boleh cakap lagi. Buat masa ini, saya gembira dengan prestasi saya," tambahnya.