Pasca Sukma Sarawak: Apa pelan tindakan sewajarnya?
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
August 27, 2024 13:33 MYT
August 27, 2024 13:33 MYT
Demi memastikan kejayaan sukan pada SUKMA akan datang, satu pelan strategik yang telus dan berintegriti perlu dirangka dengan teliti. Langkah pertama adalah dengan menjalankan penilaian prestasi menyeluruh terhadap atlet, jurulatih, dan pasukan teknikal berdasarkan pencapaian SUKMA Sarawak.
Penilaian ini perlu disokong oleh analisis data berasaskan prestasi yang mendalam untuk memahami kekuatan dan kelemahan setiap sukan. Selain itu, audit bebas dan bukan orang dalam secara berkala juga perlu dilaksanakan untuk memastikan integriti dalam pengurusan kewangan dan pengagihan sumber.
Tumpuan utama harus diberikan kepada pembangunan atlet jangka masa panjang melalui program pembangunan bakat yang lebih berstruktur. Program ini harus bermula dari peringkat sekolah dan daerah untuk mengenal pasti dan membangunkan atlet muda. Kerjasama erat KPM, KPT dan KBS perlu diperkasakan. Selain itu, program bimbingan dan mentoring dengan melibatkan atlet berpengalaman juga perlu diperkenalkan untuk membantu perkembangan mental dan fizikal atlet muda. Penggunaan teknologi dan sains sukan, seperti teknologi wearable dan analitik data, perlu di integrasikan untuk memantau dan meningkatkan prestasi atlet secara lebih efektif.
Seterusnya, kualiti jurulatih dan pegawai teknikal perlu ditingkatkan melalui kursus dan latihan profesional berkala. Pendedahan terhadap sains sukan (ISN) dan pengurusan sukan (MSN) yang berkesan perlu diperluaskan ke seluruh daerah dan negeri secara menyeluruh. Penilaian kompetensi secara berkala juga perlu dilaksanakan untuk memastikan jurulatih dan pegawai teknikal sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam sukan dan menyediakan bimbingan yang berkualiti tinggi. Pengurusan dan tadbir urus sukan yang baik adalah penting untuk memastikan semua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan merit dan rekod prestasi, dengan prosedur yang telus dan berintegriti.
Selain itu, penyediaan fasiliti dan sumber yang memadai adalah penting untuk memastikan kejayaan berterusan. Fasiliti sukan yang sedia ada perlu ditingkatkan dan dimodenkan untuk menyediakan keadaan latihan yang optimum bagi atlet. Pelaburan dalam pembangunan infrastruktur yang lebih baik di kawasan yang berpotensi untuk sukan tertentu juga penting untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas. Kerjasama dengan komuniti dan sektor swasta harus ditingkatkan untuk mendapatkan sokongan kewangan yang lebih mampan bagi pembangunan sukan. Sebagai contoh kemudahan fasiliti sukan JDT menjadikan atlet mereka cemerlang dan terbilang.
Sistem pemantauan dan penilaian berterusan perlu diwujudkan untuk mengukur kemajuan pelaksanaan pelan strategik ini dan membuat penambahbaikan secara berkala. Elakan menutup kelemahan demi kepentingan peribadi kerana seharusnya penambahbaikan dilakukan atas kelemahan yang dikenalpasti untuk kekal mampan. Saluran maklum balas terbuka perlu disediakan bagi memastikan semua pihak yang terlibat dapat menyuarakan pendapat mereka. Pelan strategik ini memerlukan komitmen dari semua pihak untuk memastikan sukan Malaysia terus berkembang dengan sihat dan kompetitif di peringkat antarabangsa, serta mencapai kejayaan berterusan dalam SUKMA akan datang.
Kejayaan dalam kejohanan seperti SUKMA tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan statistik ranking atau kedudukan akhir. Walaupun penurunan ranking dalam SUKMA Sarawak berbanding kejohanan sebelumnya mungkin kelihatan seperti kegagalan, penilaian kejayaan perlu mengambil kira faktor-faktor lain yang lebih mendalam, seperti peningkatan dalam prestasi individu atlet. Contohnya, jika terdapat catatan masa yang lebih baik, peningkatan teknik, atau pencapaian peribadi baharu, ini boleh dianggap sebagai kejayaan, walaupun kedudukan keseluruhan menurun. Aspek-aspek seperti pengurangan kecederaan, peningkatan dalam strategi permainan, dan penguasaan kemahiran teknikal juga merupakan petunjuk penting kepada kejayaan.
Tahap persaingan yang meningkat juga perlu dipertimbangkan. Sekiranya kejohanan menyaksikan lebih banyak penyertaan daripada pasukan atau atlet berprestasi tinggi, penurunan ranking tidak semestinya menunjukkan prestasi yang buruk tetapi mungkin mencerminkan persaingan yang lebih sengit. Faktor-faktor seperti kekurangan sokongan fasiliti, perubahan dalam pasukan teknikal, atau cabaran logistik turut mempengaruhi keputusan akhir. Di samping itu, jika strategi dan program latihan yang dirancang dilaksanakan dengan baik dan terdapat peningkatan dalam aspek pengurusan dan penyediaan pasukan, ini menunjukkan perkembangan positif yang boleh membawa kejayaan jangka masa panjang.
Secara tuntasnya, kejayaan perlu diukur berdasarkan pembangunan sukan dan atlet jangka masa panjang. Sekiranya kejohanan ini menyediakan pengalaman berharga serta memupuk semangat juang, kemahiran, dan ketahanan mental atlet muda, maka ini merupakan satu bentuk kejayaan yang penting untuk memastikan kesinambungan bakat sukan pada masa hadapan.Negara kita ketandusan peganti Atlet berbakat negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Dato Azizul Hasni Awang, Datuk Pandalela Renong, Sazali samad dan lain lain. Oleh itu, walaupun terdapat penurunan dalam ranking, kejayaan sebenar perlu dinilai secara holistik, mengambil kira pelbagai faktor yang menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sukan yang menyeluruh.
PENULIS
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP
PENSYARAH KANAN SAINS SUKAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA