Paris 2024: Srikandi memanah negara kembali fokus kepada pelajaran
Muzaffar Musa
August 5, 2024 20:40 MYT
August 5, 2024 20:40 MYT
Kepulangan srikandi memanah negara ke tanah air dari Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini secara simboliknya menandakan bermulanya perjalanan baru menuju ke Los Angeles 2028.
Bagaimanapun, cabaran terbesar Olimpian negara itu bukan lagi di lapangan, sebaliknya harus menyeimbangkannya dengan pengajian di universiti masing-masing
Ini kerana, selain Syaqiera Masyaikh, yang merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Azreena Fazil dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi juga akan kembali memberikan fokus terhadap pengajian, meskipun kudrat mereka akan ditagih dalam Sukan SEA Thailand 2025.
Nurul Azreena akan kembali meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia manakala Ariana Nur Dania pula akan meneruskan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
"Selepas ini saya akan meneruskan pembelajaran saya," kata Nurul Azreena kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Pada masa sama, saya akan fokus juga untuk kejohanan berikutnya.
"Untuk ke Paris ini, saya terpaksa menangguh semester saya, jadi selepas ini saya akan meneruskannya semula."
Ariana Nur Dania menambah: "Perancangan saya adalah untuk layak ke Los Angeles. Sewaktu itu, mungkin saya sudah menamatkan diploma atau berada dalam semester terakhir.
"Selepas ini, saya akan kembali meneruskan semester kedua. Saya lebih kepada mengikut sahaja apa yang akan tiba tetapi apa yang penting adalah hasilnya.
"Apa yang penting saya dapat apa yang saya mahukan dalam pembelajaran dan memanah."