Paris 2024: Saya perlu berdamai dengan takdir -- Azizulhasni

Ammar Hakim
August 13, 2024 19:53 MYT
Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, percaya dirinya perlu berdamai dengan takdir tidak dapat membutirkan pingat emas pertama buat Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris.
"Saya mewakili pasukan berbasikal trek dengan rendah diri memohon maaf kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas pertama Malaysia. Saya percaya Shah Firdaus dan rakan sepasukan yang lain akan meneruskan cabaran Malaysia pada edisi akan datang.
"Saya tidak dapat menjelaskan pengakhiran Paris sebegini kerana saya cukup dengan gembira dengan persiapan dan sokongan yang telah diberikan kepada skuad negara untuk membuat persiapan kami kali ini.
"Saya hadir ke Sukan Olimpik dengan semangat yang tinggi, meletakkan sasaran untuk pulang dengan pingat emas, bukan perak ataupun gangsa. Namun apa yang telah berlaku gagal saya ungkap dengan kata-kata. Saya tidak mampu untuk melakukan apa-apa dalam acara keirin.
"Ini bukanlah satu pengakhiran yang minta, tetapi sebagai seorang beragama islam, saya perlu berdamai dengan takdir."
Azizulhasni ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas baru sahaja tiba dari Paris sebentar tadi.
#Berbasikal trek #Datuk Azizulhasni Awang #Paris 2024 #Sukan Olimpik Paris 2024
;